Perkongsian dari Wan Ali Akbar

 As'salamualaikum ,
 Ahli psikologi menyebut, terdapat 2 cara dalam memberikan motivasi, iaitu; reward dan punishment. Apabila dihuraikan, 2 cara tersebut dibahagikan kepada 2 lagi, menjadikan ia kepada 4 bahagian, secara ringkasnya positif dan negatif.


Positive reward ialah memberikan sesuatu ganjaran yang disukai oleh orang yang ingin dimotivasikan. Negative reward pula bermaksud menghilangkan dendaan yang patut dikenakan. Positive punishment pula ialah mendenda orang yang ingin dimotivasikan jika tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat, manakala negative punishment pula ialah menarik semula ganjaran yang telah diberikan kepada orang yang ingin dimotivasikan.

Dalam Islam, Allah swt telah lama melaksanakan kaedah tersebut, iaitu melalui pemberian pahala dan dosa. Manusia digesa membuat seribu jenis kebaikan untuk mengumpul pahala, dengan tujuan untuk mendapat reward di hari akhirat, iaitu jannah (syurga). Manakala, dosa pula dihindari supaya terlepas daripada punishment di akhirat, iaitu jahannam (neraka).

Dosa dan pahala, bukanlah penentu akhir arah tuju manusia di akhirat. Mengambil iktibar daripada kisah seorang 'abid yang menghabiskan seluruh masanya untuk beribadat kepada Allah, mengumpul pahala dalam seluruh hayat kehidupannya, namun akhirnya Allah putuskan supaya dia masuk ke neraka, hanya kerana pahala yang dikumpul belum mampu untuk membayar seribu satu kenikmatan yang Allah telah berikan sebagai kemudahannya di dunia.


Sebaliknya, apa yang berlaku kepada seorang pembunuh, yang membunuh 100 lelaki, apabila ditanya tentang pintu taubat, jika ia masih terbuka buatnya, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga, walau belum pernah membuat sebarang amalan, kerana niatnya untuk berhjijrah dan bertaubat kepada Allah swt.

Kedua-dua kisah ini jelas menunjukkan bahawa yang menentukan segala-galanya adalah Allah swt dengan sifat rahmat belas kasihan-Nya dan kasih-sayang-Nya. Namun, persoalannya, adakah berdasarkan kepada kedua kisah ini, manusia tidak perlu kepada pengumpulan pahala dan penghindaran dosa? Jawapannya, sudah tentu tidak.

Menjadi tanggungjawab manusia untuk menarik perhatian Allah kepada dirinya yang dhoif dengan mengumpul seberapa banyak pahala yang mampu dan meminimakan seberapa banyak dosa yang boleh. Penyesalan, taubat dan istighfar, perlu sentiasa meniti di bibir. Datang dari hati yang tulus ikhlas. Tidak perlu banyak, tapi istiqamah itu perlu.

Teringat kepada rintihan 'abid dalam bentuk syair yang indah:
Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgamu,
 
Namun tidak upaya menahan seksaan api nerakamu,
 
Oleh itu kurniakanlah kepadaku taubat dan ampunkanlah dosaku,
 
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Dosa dan Maha Agung.

Wallahu'alam.
 
Sumber : shamkamikaze

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !