Kisah Mus'ab Bin Umair R.A

As'salamualaikum ,

Ada seorang lelaki pada zaman jahiliyyah. Kehadirannya akan dapat dirasai walaupun dia berada dalam jarak yang jauh. Hal ini kerana, minyak wangi yang dipakai olehnya mampu terbau dari jarak yang sangat jauh. Pakaiannya adalah pakain yang paling mahal di Makkah.

Dia adalah manusia yang ter’hensem’ di Makkah.

Dia anak kesayangan. Apa yang dia mahu ibunya akan perkenankan. Tiada siapa di Makkah, baik muda atau tua, pemudi atau pemuda, yang tidak mengenali Mus’ab dan mengimpikannya.

Namun, lelaki ‘malaikat’ ini, matinya bermandikan darah, tanpa dua belah tangan, dan kafannya tidak cukup menutupi seluruh tubuhnya. Bila ditutup kepalanya, terdedahlah kakinya, bila ditutup kakinya, terdedahlah kepalanya. Akhirnya Rasulullah SAW menyuruh kepalanya yang ditutup dan kakinya ditutup dengan daun.

Matinya sebagai syuhada’

Rasulullah SAW bersabda berkenaan dirinya:

“Tiada lelaki yang lebih cantik daripada Mus’ab bin Umair di Makkah ini, tiada sesiapa yang memakai pakaian lebih baik daripada Mus’ab bin Umair. Tiada anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada dia”


Ya, itulah namanya. Mus’ab bin Umair RA.

Anda lihat, bagaimana manusia kaya di zaman jahiliyyah ini, bertranformasi menjadi seorang lelaki yang sanggup mengorbankan diri untuk Islam, dan akhirnya mati sebagai syuhada’.

Kisah Mus’ab bin Umair amat unik. Dia digelar ‘putera Makkah’ kerana semua orang mengidamkannya, kerana kehensemannya. Tetapi apabila hatinya disentuh cahaya Islam, dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan semua kesenangan yang ada pada dirinya.

Dia adalah anak yang paling dicintai ibunya. Segala kehendaknya ditunaikan. Tetapi apabila dia menganut Islam dan ibunya mengetahui, ibunya telah menarik semua kesenangan Mus’ab. Segala pakaiannya yang cantik-cantik, wang saku, semuanya ditarik. Malah Mus’ab dipulau.

Namun Mus’ab tidak melatah. Tidak pula dia rasa susah. Bayangkan, anda biasa hidup dengan RM10,000 sebulan. Tiba-tiba anda perlu hidup dengan RM10 sebulan. Apa perasaan anda? Tetapi Mus’ab bin Umair tidak berpaling daripada Islam yang mungkin orang memandang sebagai penarik kekayaan dan kesenangannya.

Kenapa? Kerna dia yakin ini adalah jalan yang sebenar. Jalan yang membawanya kepada Allah.

Bila ibunya tidak berjaya menarik Mus’ab kembali kafir, Ibunya mogok tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali. Ibunya bertahan sehingga nyawa-nyawa ikan. Melihat keadaan ibunya, 
Mus’ab berkata:

“Wahai ibuku, andai Allah memberikan kamu 100 nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu persatu, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”

Ya. Itulah keteguhan.

Kita? Kadang-kadang ibu bapa sendiri suruh kita untuk taat kepada Allah. Tapi kita ingkar. Mus’ab bin Umair, ugutan ibunya tidak dijadikan alasan untuk meringankan tuntutan Islam.

Ibu, walaupun kafir, kita perlu taat kepadanya selagi mana dia tidak mengajak kita syirik kepada Allah atau melakukan perkara yang Allah larang. Tapi sekiranya mereka mengajak kepada keingkaran terhadap Allah, maka kita perlu membantah.

Mus’ab terus bertukar gaya hidupnya. Dari baju sutera termahal dan terbaik di Makkah, dari minyak wangi yang mampu dihidu dari jarak yang jauh, dari kulit licin cerah putih yang menawan, dia berubah menjadi seorang yang memakai baju lusuh bertampal-tampal, bau tubuh badan biasa, dengan kulitnya menjadi sedikit kasar kerana hidup dalam payah.

Rasulullah SAW apabila melihat Mus’ab bin Umair, baginda akan menangis. Sahabat-sahabat juga begitu. Hal ini kerana, mereka segan dengan besarnya pengorbanan Mus’ab bin Umair. Ya lah, dari putera Makkah, kepada manusia yang akhirnya diboikot tiga tahun tiga bulan bersama Rasulullah SAW, makan kayu daun kering. Siapa yang tidak akan rasa terharu?

Namun Mus’ab bin Umair tidak pernah menyalahkan Islam. Sedikit pun dia tidak pernah berkata Allah itu kejam kerana menyusun hidupnya menjadi susah sebegitu walaupun dia telah memilih kebenaran. Tidak pernah keluar dari mulutnya rungutan dan keluhan atau rasa menyesal menagmbil Islam.

Tidak pernah.

Kemudian Allah memuliakan Mus’ab bin Umair. Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai pendakwah ke Madinah. Kesungguhan Mus’ab bin Umair membuatkan tidak ada satu pun pintu yang tidak diketuk oleh sinar Islam.

Akhirnya, majoriti penduduk Madinah Islam di tangan Mus’ab bin Umair.

Sa’ad bin Muaz, pada zaman jahiliyyahnya di Madinah sebagai ketua kaum Aws. Dia datang dengan marah ketika Mus’ab bin Umair sedang menyampaikan Islam kepada penduduk Madinah. Bersamanya panah. Sampai sahaja, dia terus menarik baju Mus’ab dan mendekatkan panah itu pada leher Mus’ab. Dia menyuruh Mus’ab menghentikan usaha dakwah.
Mus’ab tidak melenting atau menentang.Kata  Mus’ab 
“Apa kata kau duduk dahulu dan mendengar apa yang aku hendak katakan? Kemudian jika kau suka, kau boleh ikuti. Jika kau tidak suka, maka aku boleh pergi”

Kelembutan Mus’ab dan ketenangannya, membuatkan hati Sa’ad bin Muaz lembut. Apabila dia mendengar kata-kata Mus’ab, ceramah Mus’ab dan Islam yang Mus’ab sampaikan, Sa’ad bangun. Dia berkata kepada Mus’ab:

“Islam ini, bagaimana aku boleh menganutnya?”

MasyaAllah. Begitulah dia Mus’ab bin Umair.

Rasulullah SAW pun memuliakannya.

Ketika Peperangan Uhud, Mus’ab bin Umair adalah salah seorang jeneral. Dia pembawa panji.

Peperangan itu, menyaksikan Mus’ab bin Umair bertempur ibarat singa. Namun, kerana dia memegang panji, tentera musyrikin berusaha untuk menjatuhkannya. Tangan kirinya yang memegang panji diserang hingga terpotong. Pantas dia memegang panji dengan tangan kanan. Dia terus bertempur. Akhirnya tangan kanan turut terpotong.

Mus’ab bin Umair, untuk mempertahankan panji yang mewakili maruah Islam, terus memegang panji dengan kedua pangkal lengannya. Akhirnya tubuhnya itu dihujani anak panah, menyebabkan dia tumbang syahid.

Saat syuhada’ Uhud hendak dikebumikan, mayat-mayat syuhada’ Uhud ditutup dengan kain. Kain yang menutup Mus’ab bin Umair tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Jika kepalanya ditutup, maka kakinya terbuka dan begitulah sebaliknya.

Melihat keadaan ini, Rasulullah SAW menangis.

Akhirnya diarahkan untuk menutup kepala Mus’ab bin Umair dengan kain, manakala kakinya ditutup dengan daun kering.

Begitulah dia kisah seorang syuhada’, ‘putera Makkah’ yang telah berkorban.

Pembaca-pembaca, ketahuilah bahawa, itulah namanya pengorbanan. Kadangkala, kita menyedekahkan seratus dua ringgit, kita rasa itu satu pengorbanan. Sedangkan gaji kita RM10,000 sebulan.

Kadangkala, kita dapat bangkit qiamullail dua rakaat, kita sudah rasa itu satu pengorbanan. Sedangkan kita bangkit itu sekali sahaja dalam setahun. Malah banyak hari kita terlajak subuh.

Kadangkala, kita dapat berpuasa sunat sehari. Kita berlapar. Kita rasa itu pengorbanan. Sedangkan kita berpuasa sunat itu sekali sahaja dalam beberapa bulan.

Kita baru studi sejam dua, kita rasa itu pengorbanan. Sedangkan kita leka dan lalai berpuluh-puluh jam lamanya.

Amal kita sedikit, kita rasa itu pengorbanan. Sumbangan kita sedikit, kita rasa itu pengorbanan. Hakikatnya, kita tidak faham apa itu ‘korban’. Pengorbanan yang sebenar adalah seperti apa yang ditunjukkan Mus’ab bin Umair kepada kita.

Sedangkan Islam, untuk bangkit seperti zaman kegemilangannya, memerlukan manusia-manusia yang sedia berkorban seperti Mus’ab Bin Umair. Pengorbanannya menonjolkan keimanannya. Kerna, manusia yang benar-benar beriman kepada Allah, dia akan faham dengan sebenarnya akan kata-kata:

“Cukuplah Allah sebagai wakil”

MasyaAllah…

Sama-sama lah kita, muhasabah diri kita, dengan sirah Mus’ab bin Umair ini.

Semoga kita berjaya menjadi hamba sepertinya.

Dia adalah antara anak-anak di madrasah Rasulullah SAW, yang melihat dunia dari jendela akhirat.

Semoga Allah bantu kita untuk menjadi seperti dia.


Sumber : SINI via SINI

2 comments:

Anonymous said...

Salam alayk. Jazakillah dengan kisah ini. Sangat teruja dan menangis bila membacanya.

Anonymous said...

salam. jazakillah dengan kisah ni. sedih dan sebak dan ana baru tahu siapa mus'ab bin umair


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !