| |||||||||||
As'salamualaikum , | |||||||||||
MAKMUM TIDAK MEMBACA SURAH
AL-FATIHAH
Membaca surah al-Fatihah (Fatihat al-Kitab) secara
umumnya merupakan salah satu perkara yang rukun dalam solat.
Hadis-hadis yang menunjukkan kefardhuan membaca al-Fatihah
dalam solat sememangnya begitu banyak sehingga tidak ada ruang untuk
perbezaan pendapat. Antaranya sabda Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam yang dimaksudkan adalah:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ.
Tidak ada (tidak sah) solat bagi orang yang tidak membaca Fatihat
al-Kitab (surah al-Fatihah).[1]
مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ (ثَلاَثًا).
Barangsiapa yang bersolat tidak membaca Umm al-Qur’an (dalam riwayat
lain: Fatihat al-Kitab) maka solatnya kurang (diulangi tiga kali).[2]
Antara sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dalam solat
yang semakin ditinggallkan adalah membaca surah al-Fatihah
ini ayat demi ayat. Ummu Salamah radhiallahu ‘anha pernah
ditanya tentang cara bacaan Rasulullah shalallahu 'alaihi
wasallam dalam solat maka dia berkata:
Dulu Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam memutuskan bacaan
al-Qur’annya ayat demi ayat[3]
Namun begitu apa yang sering kita lihat tentang tatacara pembacaan
Fatihat al-Kitab ini, seringkali ianya disambungkan dua atau
tiga ayat sekaligus, malah ada yang boleh menghabiskan bacaannya
dengan sekali nafas sahaja terutamanya ketika solat Qiyam
al-Ramadhan (Solat Tarawih)Sesungguhnya amalan
ini bercanggah dengan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam
sebagaimana yang dikhabarkan oleh Ummu Salamah radhiallahu ‘anha
dalam riwayat di atas. Seharusnya bacaan Fatihat al-Kitab ini
diperhatikan dengan bersungguh-sungguh kerana setiap baris ayat yang
diucapkan itu merupakan doa dan akan Allah Subhanahu wa Ta'ala
memperkenankan doa tersebut dengan ucapan-Nya yang sungguh indah
sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dalam
sebuah hadis qudsi:
قَالَ اللَّهُ تَعَالَى:
قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي
نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُالْحَمْدُ
لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي
وَإِذَا قَالَ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى
عَلَيَّ عَبْدِي
وَإِذَا
قَالَ
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي
وَقَالَ
مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي
فَإِذَا قَالَ إِيَّاكَ نَعْبُدُ
وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي
وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
فَإِذَا قَالَ اهْدِنَا الصِّرَاطَ
الْمُسْتَقِيمَ
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ
الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
قَالَ هَذَا لِعَبْدِي
وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ.
Allah Ta’ala berfirman:
“Aku telah membahagi al-Fatihah menjadi dua
bahagian, untuk-Ku dan untuk Hamba-Ku. Separuh untuk-Ku dan separuh
untuk hamba-Ku dan hamba-Ku akan mendapat bahagian dari permohonan
yang diucapkannya.”
(Rasulullah meneruskan):
“Bila hamba membaca
Alhamdulillahirabbil’alamiin, Allah Ta’ala menyahut ‘Hamba-Ku
memuji-Ku’.
Bila hamba membaca Arrahmaanirrahiim, Allah Ta’ala
menyahut ‘Hamba-Ku menyanjung-Ku’.
Bila hamba membaca
Malikiyawmiddiin, Allah Ta’ala menyahut, ‘Hamba-Ku memuliakan-Ku.
Bila hamba membaca Iyyaakana’budu Waiyyaakanasta’iin, (Allah
menyahut): ‘Ini bahagian-Ku dan bahagian hamba-Ku akan dapat apa
yang dimintanya.’
Bila hamba membaca Ihdinashiraathal mustaqiim
Shiraathaldzina an’amta’alaihim ghairilmaghdhuubi ’alaihim
waladhdhaaliin, (Allah menyahut): ‘Itu adalah hak hamba-Ku, dia akan
dapat apa yang dimintanya."
Hukum Membaca Fatihat Al-Kitab Di
Belakang Imam
Menurut al-‘Utsaimin
rahimahullah[4]
secara umumnya terdapat empat pandangan tentang hukum membaca surah
al-Fatihah dalam solat:
Pertama:
Bacaan Fatihat al-Kitab itu tidak diwajibkan secara
mutlak kepada imam dan makmum, baik dalam solat sendirian (munfarid)
atau dalam solat berjemaah yang
siriyah[5]
mahupun jahriyah[6].
Bagi mereka yang diwajibkan hanyalah membaca apa yang mudah dari
al-Qur’an. Dalil yang mereka pakai adalah firman Allah Subhanahu
wa Ta'ala:
… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah bagi kamu dari Al-Quran
(dalam solat).[7]
Dan Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:
ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ
Kemudian bacalah sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur’an.[8]
Kedua: Bacaan al-Fatihah adalah salah satu dari rukun solat
yang wajib dibaca dalam semua keadaan oleh imam dan makmun dalam
solat berjemaah siriyah dan jahriyah, atas makmum yang
masbuq[9]
atau orang yang yang menjadi makmum dari awal solat lagi dan kepada
mereka yang solat sendirian (munfarid).
Ketiga: Bacaan al-Fatihah adalah rukun dan wajib dibaca bagi
imam dalam solat berjema’ah dan mereka yang solat secara
munfarid. Tetapi ianya tidak diwajibkan secara mutlak kepada
makmum dalam solat berjemaah siriyah dan jahriyah.
Keempat: Bacaan al-Fatihah adalah rukun solat dan wajib
dibaca imam, dan mereka yang bersolat munfarid, dan juga
wajib dibaca bagi makmum dalam solat berjemaah siriyah namun
tidak wajib dibaca dalam solat berjemaah jahriyah.
Pendapat pertama dapat dibantah dengan wujudnya hadis-hadis
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan kefardhuan
membaca al-Fatihah seperti yang telah saya paparkan sebelum
ini. Adapun yang dimaksudkan dengan “mudah” dalam hadis di atas,
al-Nawawi rahimahullah berkata:
Sabda baginda shalallahu 'alaihi wasallam “…sesuatu
yang mudah…” difahami bahawa ianya adalah al-Fatihah,
kerana surah ini mudah bagi seseorang atau yang dimaksudkan adalah
surah yang dibaca setelah membaca al-Fatihah, atau khusus
bagi mereka yang tidak mampu membaca al-Fatihah.[10]
Berkata Ibnu Hajar rahimahullah:
… bahawa yang dimaksudkan dengan “… sesuatu yang mudah bagimu
dari al-Qur’an.” Adalah surah al-Fatihah, sebagaimana
diriwayatkan oleh Abu Daud dari Rifa’ah bin Rafi’ dari Nabi
shalallahu 'alaihi wasallam:
إِذَا قُمْتَ فَتَوَجَّهْتَ إِلَى الْقِبْلَةِ فَكَبِّرْ
ثُمَّ
اقْرَأْ بِأُمِّ الْقُرْآنِ وَبِمَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَقْرَأَ
وَإِذَا رَكَعْتَ فَضَعْ رَاحَتَيْكَ عَلَى رُكْبَتَيْكَ.
Apabila engkau telah berdiri dan menghadap kiblat maka takbirlah,
kemudian bacalah Umm al-Qur’an dan apa-apa yang Allah kehendaki
untuk kau baca.
Apabila engkau rukuk maka letakkanlah kedua telapak tanganmu di atas
kedua lututmu.[11]
Bagi al-’Utsaimin rahimahullah:
“…pendapat yang terkuat padaku adalah: bahawa bacaan al-Fatihah
adalah rukun yang harus dikerjakan imam dan makmum serta munfarid
dalam solat siriyah dan jahriyah, kecuali jika
masbuq dan dia mendapatkan imam sedang rukuk maka dia tidak
wajib membaca al-Fatihah.”[12]
Pendapat al-‘Utsaimin ini lebih menghampiri amalan majoriti umat
Islam di Malaysia.[13]
Dalil yang digunakan oleh al-‘Utsaimin rahimahullah adalah
hadis-hadis yang menetapkan kefardhuan bacaan al-Fatihah
seperti yang telah penulis paparkan di atas. Sedangkan dalil khusus
yang dipergunakan untuk menguatkan pendapat bahawa makmum dalam
solat berjemaah jahriyah juga wajib membaca surah
al-Fatihah adalah:
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ:
صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصُّبْحَ فَثَقُلَتْ عَلَيْهِ
الْقِرَاءَةُ
فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: إِنِّي أَرَاكُمْ تَقْرَءُونَ
وَرَاءَ إِمَامِكُمْ؟
قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِي
وَاللَّهِ.
قَالَ:فَلاَ تَفْعَلُوا إِلاَّ بِأُمِّ الْقُرْآنِ
فَإِنَّهُ لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِهَا.
Dari Ubadah bin Shamit
radhiallahu’anh
bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengerjakan solat Subuh lalu
baginda terasa susah membaca
(al-Qur’an).
Setelah selesai baginda
berkata kepada sahabatnya:
“Aku melihat kalian membaca sesuatu di
belakang imam kalian?”
Mereka menjawab: “Betul Ya Rasulullah.”
Baginda bersabda: ”Janganlah hal itu kalian kerjakan k
ecuali membaca
Umm al-Qur’an,
kerana tidak ada (tidak sah) solat bagi yang tidak
membacanya.”[14]
Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah:
Pendapat inilah yang sahih menurutku, seandainya bukan kerana hadis
Ubadah bin Shamit radhiallahu’anh...tentulah pendapat bahawa
membaca al-Fatihah dalam solat jahriyah tidak wajib
bagi makmum adalah pendapat yang rajih (lebih tepat) kerana
orang yang mendengar itu seperti orang yang membaca dalam
memperolehi pahala.[15]
Bagi mereka yang berpendapat makmum tidak wajib membaca surah
al-Fatihah dalam solat berjemaah yang jahriyah, mereka
berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah serta diamlah
(dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya),
supaya kamu
beroleh rahmat.[16]
Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah: “Kewajipan
membaca bagi makmum jadi gugur pada solat-solat (berjema’ah –
pen) jahriyah dan wajib dia mendengarkan bacaan Imam, kerana
firman Allah Ta’ala (al-A’raaf (7): 204)…”[17]
al-Albani rahimahullah juga menyatakan ayat ini adalah yang
paling pokok dalam hal ini.[18]
Dalil-dalil lain yang menunjukkan makmum tidak perlu
membaca surah al-Fatihah dalam solat jahriyah adalah
hadis berikut:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ
فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا.
Dijadikan imam itu hanya untuk diikuti. Oleh kerana itu apabila imam
takbir, takbirlah kalian, dan apabila imam membaca, maka hendaklah
kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu).”[19]
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ
انْصَرَفَ مِنْ صَلاَةٍ جَهَرَ فِيهَا بِالْقِرَاءَةِ
فَقَالَ: هَلْ قَرَأَ مَعِي أَحَدٌ مِنْكُمْ آنِفًا؟
فَقَالَ رَجُلٌ:
نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ.
قَالَ: إِنِّي أَقُولُ مَالِي أُنَازَعُ
الْقُرْآنَ؟
قَالَ: فَانْتَهَى النَّاسُ عَنْ الْقِرَاءَةِ
مَعَ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ
فِيمَا جَهَرَ
فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ
الصَّلَوَاتِ بِالْقِرَاءَةِ
حِينَ سَمِعُوا ذَلِكَ مِنْ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ِ.
Dari Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi
wasallam sesudah selesai mendirikan solat yang baginda keraskan
bacaannya (jahriyah)
di dalam solat itu, baginda bertanya:
“Apakah ada seseorang di antara kamu yang membaca bersamaku tadi?”
Maka
seorang laki-laki menjawab, “Ada ya Rasulullah!”
Kemudian baginda
bersabda: “Sesungguhnya aku berkata: Mengapakah (bacaan)ku dilawan
dengan al-Qur’an juga?”
Berkata Abu Hurairah: “Kemudian berhentilah
orang-orang dari membaca bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi
wasallam pada solat-solat
yang Rasulullah shalallahu 'alaihi
wasallam keraskan bacaannya,
ketika mereka sudah mendengar
(larangan) yang demikian itu dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam”[20]
Menurut al-Albani rahimahullah berkenaan hadis ini,
“Rasulullah melarang makmum membaca semua bacaan al-Qur’an dalam
solat jahriyah.”[21]
Disebabkan hadis ini diucapkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi
wasallam terkemudian berbanding hadis yang diriwayatkan dari
Abdullah bin Shamit radhiallahu’anh, maka pengecualian
terhadap bacaan Umm al-Kitab bagi makmum dalam solat
jahriyah telah dimansuhkan.
Berkata Abu Bakar Ibn al-Arabi rahimahullah:
Yang kuat menurut kita ialah diwajibkan membaca (al-Fatihah)
pada solat siriyah, kerana umumnya hadis-hadis (yang
menunjukkan kefardhuan membaca al-Fatihah seperti yang
telah saya paparkan di atas). Mengenai solat jahriyah, maka
tidak ada jalan untuk membacanya di sana kerana itu merupakan amalan
penduduk Madinah. Kedua, kerana itu adalah hukum al-Qur’an
sebagaimana firman-Nya:
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta
diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya),
supaya
kamu beroleh rahmat.[22]
Dan
ia disokong oleh sunnah dengan dua buah hadis: salah satu di
antaranya ialah hadis Imran bin Hussain: “Sungguh, saya
mengetahui beberapa orang di antara mu telah mangacaukan saya!”
Kedua ialah ucapan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:
“dan
apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan
(bacaan imam itu).”[23]
Pendapat makmum tidak membaca al-Fatihah dalam
solat jahriyah ini juga adalah menjadi pilihan Ahmad bin
Hanbal dan Malik bin Anas, al-Zuhri, Ibnul Mubarak, Ishak dan
dikuatkan oleh Ibnu Taymiyyah rahimahumullah.
Kesimpulannya, ternyata dalam bab makmum membaca atau tidak
al-Fatihah dalam solat berjamaah jahriyah adalah sebuah
masalah khilafiyah. Memandangkan kedua-dua pihak memiliki
dalil dan hujah, sepatutnya kita berlapang dada dalam bab ini.
[1]
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam
Shahihnya, hadis no. 756.
[2]
Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim
dalam Shahihnya, hadis no. 395.
[3]
Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya,
hadis no. 4001. Para perawinya adalah thiqah sebagai
dinyatakan oleh al-Nawawi dalam al-Majmu’, jld. 3,
ms. 303. Beliau juga mengemukakan lafaz
(كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا قَرَأَ يَقْطَعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً) yang dikeluarkan oleh al-Hakim, Ibn Khuzaimah dan al-Daraquthni dan seterusnya menukil kata-kata al-Daraquthni: “(Para perawi dalam) isnadnya thiqah keseluruhannya, dan ia adalah isnad yang sahih.” Hadis ini turut dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 4001.
[4] Sila
rujuk kitab Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah,
ms. 360.
[5] Solat
berjemaah siriyah adalah solat di mana imam
menyembunyikan bacaannya seperti solat Zuhur, Asar, rakaat
ke tiga solat Maghrib dan rakaat ketiga dan keempat solat
Isyak.
[6] Solat
berjemaah jahriyah adalah solat di mana imam
mengeraskan bacaannya seperti solat Subuh dan rakaat pertama
dan kedua solat Maghrib dan Isyak.
[7] al-Muzzammil (73): 20
[8]
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam
Shahihnya, hadis no. 757.
[9] Masbuq ialah makmum yang terlewat untuk menyertai
solat berjemaah sehingga tidak dapat mengikut imam dari
awal.
[10] Ibnu Hajar Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 479.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih
oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud,
hadis no. 856.
[12] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab
Ibadah, ms. 360.
[13] Sengaja penulis membawa pendapat al-‘Utsaimin
rahimahullah ini kerana beliau merupakan ulama’
Fiqh dari Arab Saudi yang selalu digelar ulama’
wahhabiyah. Ini secara tidak langsung menunjukkan
keterbukaan ulama’ ahl al-Sunnah dalam berbeza
pendapat selagi masih ada dalil mendukung sesuatu pendapat.
Insya-Allah penulis juga akan membawa pendapat ulama’
ahl al-Sunnah yang lain seperti Sayyid Sabiq dan
al-Albani yang berbeza dengan al-‘Utsaimin.
[14] Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam kitab Sunannya,
hadis no. 311 dan beliau berkata: “Hadis Ubadah
adalah hadis hasan.” Berkata Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam
Nataij al-Afkar (نتائج
الأفكار) Litakhrij Ahadits al-Azkar:
“Hadis ini hasan.” Demikian dikemukakan oleh al-Murakfuri
ketika mensyarahkan hadis di atas dalam
Tuhfah al-Ahwazi
Syarh Jami’ al-Tirmizi.
[15] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab
Ibadah, ms. 361.
[16] al-A’raaf (7): 204
[17] Sayyid
Sabiq, Fikih Sunnah, jld.1, ms. 342
[18] Muhammad
Nashiruddin al-Abani, Fatwa-Fatwa Albani, (edisi
terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta,
2002) ms. 85.
[19] Hasan
Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai
hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah,
hadis no: 846.
[20] Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata:
“Hadis ini hasan.” Al-Albani menilainya sahih, rujuk
Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 312.
[21] Muhammad
Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 121.
[22] al-A’raaf (7): 204
[23] Dinukil daripada Fikih Sunnah, jld.1, ms. 342-343.
Sumber : hafizfirdaus.com dan dibantu oleh sahabat SINI
|
Bolehkah makmum tidak membaca Al-Fatihah sewaktu solat berjemaah ?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment