Senang ke jadi pemimpin ?


As’salamualaikum semua ,

Sabda Rasulullah S.A.W :  “ Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pimpinannya “

Setiap pekerjaan yang kita lakukan akan ditanya satu per satu oleh Allah S.W.T di akhirat kelak sama ada kita telah berlaku amanah ataupun sebaliknya . Ini termasuklah terhadap orang yang kita pimpin samada mereka redha atau tidak dengan kepimpinan kita .





TIPS YANG DI AJAR OLEH ISLAM MENJADI PEMIMPIN


JIWA PEMIMPIN MESTI KUAT

Bagaimana hendak pastikan bawaha jiwa kita kuat ? Sebagai insan biasa kita tetap ada emosi yang mana tikanya semangat kita juga lemah . Kita mahu mengadu nasib , mengadu masalah sedangkan pemimpin mesti memiliki jiwa yang kuat , kerana orang akan mengadu nasib kepadanya . Maka , pemimpin yang kuat pastinya akan mengadu nasib kepada Yang Maha Kuat (Allah) .

JIWA MESTI BERANI

Berani maksudnya , bersedia menghadapi risiko . Kita berani bukan untuk mendapatkan risiko , tapi berani untuk berada di sekelilingnya . Tidak siapa hendak menanggung risiko berada dalam celah-celah risiko . Adakala risiko itu besar dan adakala sebaliknya . Keberanian mesti ditanam dalam diri untuk berhadapan dengan risiko yang ada , itulah beza antara orang yang boleh menjadi pemimpin besar dengan orang yang boleh memimpin di kelompok yang kecil . Tanpa keberanian , bagaimana orang mahu berlindung di bawah panji pimpinan kita ?

BERANI MENGHADAPI DOSA

Dalam kehidupan kita akan bertemu dengan ramai orang . Ada orang yang memang penakut . Dia memang tidak melakukan dosa tetapi bukan kerana tidak mahu berbuat dosa , tapi jiwa dia memang penakut . Orang ini nilai takwanya adalah sederhana . Ada orang yang berani . Orang ini memiliki keberanian yang tinggi . Tapi amat takut dengan dosa . Dia memang berani untuk mencuba perkara-perkara baru , tapi tetap gentar dengan dosa . Orang ini memang hatinya benar-benar bertakwa kerana berjaya mengawal keberanian dengan aspek dosa .




INGATLAH




Berani biar bertempat , bukan berani tanpa ilmu dan berani tanpa akhlak . Pantang seorang pendekar menunjukkan keberanian semata-mata untuk dipuji . Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam sebuah hadis :

“ Bukanlah seorang yang benar-benar berani dengan menunjukkan kekuatan . Tetapi orang yang benar-benar berani ialah berjaya mengawal diri sewaktu kemarahan “

Usah takut untuk bersuara jika tiada risiko yang anda tanggung . Andai ada persoalan hendak dilontarkan , usah takut untuk berdiri dan bertanya . Andai ada pendapat yang dirasakan menarik untuk dikongsi , usah takut untuk berdiri di hadapan dan bersuara . Buatlah keputusan secara bijak dan berhemah . Seorang pemimpin juga mesti tahu peranan antara seorang pekerja dedikasi dan juga peranan seorang pengampu . Faktor utama yang perlu dititikberatkan oleh seorang pemimpin walaupun pimpinannya adalah dalam kelompok yang kecil sekalipun . Buatlah pertimbangan sewajarnya .

Lakukanlah solat istikharah pada setiap masa dan mengadulah kepada Allah sebelum membuat keputusan yang besar seperti melibatkan masa hadapan dan hala tuju seorang pekerja yang kita pimpin . Usah sampai ada pihak yang teraniaya disebabkan oleh kesilapan keputusan yang dibuat oleh seorang pemimpin .

Kita ? Kita tanam keberanian untuk melawan nafsu . Kalahnya seorang pejuang bukan kerana ditikam dengan pedang tetapi kerana ditikan oleh nafsu sendiri .

MENGUASAI EGOISME

Pemimpin yang berwibawa ada egonya . Egoisme bukan bermaksud ego , angkuh atau sombong . Egoisme bermaksud memiliki efikasi diri yang tinggi . Hendak tahu anda punyai ego yang kuat atau tidak ?

  • PERTAMA -   anda berasa kurang enak apabila dikritik .
  • KEDUA -  apabila berbicara , anda hendak menonjolkan kehebatan diri .

Namun ,  ego mesti dikawal jika mahu menjadi pemimpin yang baik . Egoisme membuahkan keberanian dan kekuatan . Tanpa ego , kita tak berani berhadapan dengan musuh yang hebat . Anda tidak berani mengepalai sesuatu organisasi dengan baik . Anda mungkin akan tewas dengan anak-anak buah . Rasa yakun dengan kemampuan diri untuk melaksanakan kerja itu adalah satu ego . Rasa hemah dalam diri dan rasa diri berkebolehan itu juga ego . Ia membantu kerja-kerja kita untuk memimpin orang lain . Orang lain memerlukan anda , tidak semua orang ada keyakinan diri yang kuat .

Tapi awaslah dengan rasa tersebut syaitan senantiasa mempergunakan rasa itu untuk menjadikan anda lupa kepada Pemberi Anugerah . Egoisme menjadikan kita hanya mahu mempamerkan kehebatan tanpa langsung boleh ditegur . Hal ini akan menyebabkan orang lain bosan dengan kita . Malah , mungkin ada yang meluat teruatama rakan-rakan . Kawallah dengan sikap rendah diri sesama manusia Rasulullah S.A.W sangat tinggi egoismenya apabila berhadapan dengan musuh , tetapi sangat merendah diri dengan semua orang

Merendah diri sesama insan bermakna merendah hati dengan Allah . DIA akan naikkan anda pada mata orang . Egoisme hanya bertujuan untuk meningkatkan daya kepimpinan anda . Di hadapan Allah , anda berasa sangat bergantung kepadaNya . Apabila hati merendah dengan Allah , Dia akan angkat pandangan manusia kepada kita . Itu sudah menjadi sunatullah dalam fitrah kehidupan .

BERTANGGUNGJAWAB

Rasulullah S.A.W ada menyatakan : “ Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya . “

Dalam cerita spiderman ada ungkapan : “ Great power comes with great responsibilities “ . Justeru , untuk menjadi seorang pemimpin yang baik laksana Umar Al-Khattab perlulah ada sikap bertanggungjawab . Usah sesekali ada sikap lepas tangan terutama ketika dilanda masalah . Bertanggungjawablah selagi ia dia bawah pimpinan anda . Oleh kerana itu , bagi pemimpin yang baik dia sentiasa mengawasi agar orang bawahannya tidak melakukan kesilapan .

MESTI BOLEH KONTROL , BUKAN KONGKONG

Dalam Islam , kawalan boleh dilakukan dengan cara audit semasa . Atau dengan kaedah seperti muhasabah . Muhasabah ertinya menyemak kembali segala apa yang terjadi serta mencari kesilapan dan kekurangan masing-masing . Amalkanlah ketelusan dan usah gusar  untuk berbicara segala masalah secara slow talk . Elakkan cakap-cakap belakang kerana ia boleh menimbulkan sistem umpatan yang tidak elok pada agama dan tidak juga elok pada organisasi yang dipimpin .

Selain itu , untuk mengawal konflik Islam mengamalkan prinsip kasih sayang sebagai shared value . Inilah orang cakap , senang cakap daripada amal . Susah hendak berkasih-sayang sesama insan ini kalau rasa kita lebih baik daripada orang lain . Setiap orang ada egonya , kalau dikritik jatuhlah egonya . Didiklah organisasi biar bermatlamatkan akhirat ini penting agar setiap apa yang lahir adalah berupa warna-warni keikhlasan . Moga akan terlahirlah kasih sayang dan timbullah keberkatan dalam setiap apa yang dilakukan .

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu agar menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berghak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia , (Allah menyuruh)  kamu menghukum dengan adil “ – Surah An-Nisa :58

p/s : Saya sarankan setiap pemimpin cuba menerapkan nilai Islam dalam kepimpinan mereka . Misalnya , mengadakan kuliah ringkas atau bacaan doa pasa setiap hari Jumaat di jabatan masing-masing bagi mencari keberkatan di samping dapat menambah ilmu . Mudah-mudahan kita semua dapat beristiqamah dan muhasabah diri kerana tiada insan yang sempurna dari segala aspek . Walahualam .



2 comments:

Mohamadazhan.com said...

salam

entri menarik :)

belajar2 jadi pemimpin utk diri :)

Fatin Nur Nabilah Roslan said...

Wa'alaikumussalam ,
insyaAllah mudah-mudahan
Saya ambil artikel ini dari sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Noor Hisham Ismail . walahualam .


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !