Jangan padamkan cahaya ilmu

Ilmu ialah cahaya ALLAH di dalam hati . Jika tidak dijaga , cahaya itu boleh padam . Dan cara menjaganya adalah dengan melazimkan ibadah dan meninggalkan maksiat .

Assalamualaikum  

Demikianlah konsep ilmu yang diajarkan setiap ulama salaf kepada murid-muridnya . Nasihat ini juga disampaikan oleh Imam Malik kepada anak muridnya , Imam al-Syafi’i .

Imam al-Syafi’i datang kepada Imam Malik di Madinah apabila beliau berusia 23 tahun . Waktu itu beliau baru sahaja menyelesaikan pengajiannya daripada para ulama di Makkah . Walaupun masih muda , namun Imam al-Syafi’i telah menghafal Al-Quran dan ribuan hadis . Beliau juga sangat fasih bercakap dalam bahasa Arab .

Diceritakan Imam Malik sangat menyukai Imam al-Syafi’i apabila pertama kali jumpa . Setelah memerhati keluasan ilmu Imam al-Syafi’i , Imam Malik berkata : “ Sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menyatakan cahaya di dalam hatimu . Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat

Kisah ini diceritakan oleh al-Baihaqi dalam kitab Manaqib al-Imam al-Syafi’i .

TIADA STRES
Konsep ilmu sebegini hanya ada dalam Islam . Seseorang pelajar Muslim bukan hanya menuntut Ilmu dengan akalnya , malahan dengan hatinya yang selalu berusaha mendekatkan diri kepada ALLAH .

Keakraban seseorang pelajar dengan ALLAH menghilangkan STRES yang seringkali menimpa para pelajar lain semasa pembelajaran mereka . Hal ini kerana , setiap kali berdepan dengan permasalahan berat , dia tahu siapa yang dapat membantunya keluar daripada permasalahan tersebut . Dia akan segera mengerjakan solat sunat , lalu berdoa kepada ALLAH . Hasilnya semua masalah dapat diuraikan dengan pantas .

Itulah rahsia kejayaan Ibn Sina [w.428H] dalam pelajaran . Sejak kecil lagi , beliau sangat suka membaca buku-buku yang sukar difahami seperti falsafah , logik dan kedoktoran .

Beliau berkata : “ Setiap kali aku tidak faham akan sesuatu masalah , aku segera ke masjid . Aku menunaikan solat , lalu berdoa meminta kepada Pencipta alam semesta , sehingga terbuka bagiku semua permasalahan yang tertutup “ . Demikian diceritakan oleh al-Hafiz al-Dzahabi dalam Kitab Siyar al-A’lam al-Nubala .

Sehingga hari ini Ibn Sina masih diakui sebagai orang yang sangat genius . Buku-buku karangan beliau masih dikaji dan diajarkan di pelbagai university barat dan timur .

TINGGALKAN MAKSIAT .
Tidak ada sesuatu yang menggelapkan hati selain daripada dosa . Setiap maksiat yang kita lakukan akan menjadi hijab yang menghalang cahaya ilmu daripada menembusi ke dalam hati . Oleh sebab itu , ilmu ALLAH tidak akan ada pada orang yang derhaka kepada ibu bapanya , biadap dengan gurunya , suka menyakiti kawan-kawannya dan tidak menjaga akhlak dalam pergaulan .

Ali bin Khasyram berkata : “ Aku mengadu kepada Imam Waki akan kelemahan hafalanku . “ Beliau berkata : “ Untuk kuat menghafal sedikitkan dosa “ Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab Syuab al-Imam .

Walaupun seorang pelajar yang buruk akhlaknya tetapi dilihat pandai dalam sesuatu ilmu , maka ilmu itu tidak bermanafaat baginya . Dia akan mengalami salah satu daripada 2 perkara . Sama ada dia akan melupakan ilmu itu suatu hari nanti ataupun tidak ada yang berminat untuk belajar ilmu itu daripada dirinya .

Abdullah bin Mas’ud berkata : “ Aku melihat seseorang melupakan ilmu yang dia miliki kerana dosa yang dia lakukan “ . Abu Darda berkata : “ Apabila seorang hamba bermaksiat kepada ALLAH , maka ALLAH akan membencinya , Dan jika ALLAH membencinya , ALLA akan membuat semua manusia membencinya . “ Kedua-dua ucapan ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Kitab al-Zuhd .

CAHAYA SEMAKIN MENYALA
Imam al-Syafi’i pernah berkata : “ Sesiapa yang ingin ALLAH membuka dan menerangi hatinya , maka jauhilah ucapan yang sia-sia , tinggalkan dosa dan maksiat dan hendaklah ia memiliki ibadah tersembunyi antara dirinya dengan ALLAH S.W.T “

Jika anda ingin menjadi pelajar yang Berjaya . Ikutilah nasihat Imam al-Syafi’i ini . Jagalah mata , lidah , telinga dan seluruh badan kita daripada maksiat . Jagalah hati kita daripada hasad dengki , buruk sangka , bakhil dan sifat mazmumah lainya . Lakukan ibadah wajib dan perbanyakkan ibadah sunat .

Dengan mengamalkannya semoga cahaya ALLAH akan terus menyala di dalam dada . Dan cahayanya semakin berkobar . Amin ya Rab al-‘alamin .

#Ini juga adalah langkah bagi saya untuk turut sama-sama ingin menjadi pelajar yang bagus . Dengan niat yang betul . Moga saya dan anda dapat ambil pengajaran dan input yang baik dari artikel ini . Wallahualam . Wassalam 

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !