Was-was nak guna troli/bakul di pasar raya untuk meletakkan barangan yang dibeli ?

As'salamualaikum , 


Soalan : 

Perkara seperti ini mungkin nampak remeh bagi kebanyakan orang tetapi tidak bagi saya yang begitu teliti dalam kehidupan berkeluarga . Selalunya apabila kita pergi membeli belah di pasar raya , kita selalu menggunakan troli barang atau bakul yang telah disediakan . Apa yang saya khuatirkan ialah kemungkinan troli tersebut telah digunakan oleh pelanggan (non Muslim) yang menggunakannya untuk meletakkan barangan yang tidak halal seperti daging khinzir ataupun minuman keras . Perlukah disamak semua barangan yang telah saya beli disebabkan penggunaan troli oleh pelbagai jenis golongan . Harap ustaz dapat meleraikan masalah ini . 


Jawapan : 

Mengenai soalan menggunakan troli yang dikhuatiri telah digunakan untuk membawa barangan yang najis seperti daging khinzir , perlu diketahui bahawa ulama besar Islam dalam memutuskan sesuatu hukum itu telah mempertimbangkan banyak aspek dan menggunakan kaedah-kaedah seperti : 

Hadis sahih yang maksudnya : 

" Tinggalkanlah perkara yang meragukan dan buatlah perkara yang tidak meragukan " 

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud : 

"  ALLAH tidak membebani seseorang kecuali perkara yang dapat dilaksanakan " 

dan 

Firman-Nya yang bermaksud : 

" ALLAH tidak menjadikan agama (ISLAM) ini menjadi sesuatu yang susah . 

Juga 

Hadis sahih ada menyatakan yang bermaksud : 

" Mudahkanlah , jangan menyusahkan , berilah khabar gembira , jangan membuat mereka lari " 


Adakah kita YAKIN semua troli atau bakul itu telah digunakan untuk membawa najis mughalazah ? Takkanlah setiap kali hendak guna troli atau bakul di pasar raya , kita akan bertanya pada pekerja , siapa yang telah menggunakannya dan apa barangan yang dibelinya ? Perasaan was-was mesti ada tetapi biarlah kena pada tempatnya . 

Hukum ISLAM memang adil dan saksama . Ia tidak dikenakan kepada perkara-perkara yang susah untuk dilaksanakan atau melakukannya pada perkara yang tidak jelas kepastiannya . Jadi , perihal troli tersebut ; 

Apakah anda pasti ia telah digunakan membawa benda najis dengan melihat sendiri dan adakah nampak bekas najis tersebut pada troli tersebut ? Apakah najis tersebut dalam keadaan basah yang melekat pada makanan yang kita akan makan atau makanan/barang terbungkus dengan selamat dalam beg plastik ? 

Tinggalkanlah perkara yang meragukan keraka jika setiap sesuatu itu hendak diteliti dengan mendalam , pasti kehidupan kita akan jadi lebih rumit dan menyusahkan 

Saya bagi satu contoh yang paling senang untuk dijadikan panduan . Katakanlah anda berjalan waktu hujan dan terkena air yang bertakung di jalan atau lopak yang anda sendiri tidak pasti apakah air tersebut mengandungi najis atau tidak . Jika anda was-was dan ingin menanggalkan pakaian yang terkena air tersebut ataupun membersihkan bahagian yang terkena air itu , adalah DIGALAKKAN kerana ISLAM itu agama yang bersih dan sukakan kebersihan . Tetapi jika keadaan tidak mengizinkan kita untuk berbuat begitu seperti faktor masa dan tempat disebabkan ingin bersolat dan tidak mempunyai pilihan lain , maka dibolehkan memakainya untuk bersolat jika kita yakin bahawa pakaian tersebut tidak terkena najis . Wallahu Taala A'lam .




Sumber :  Buku berjudul 'Mencari Redha-MU' . Siri soal jawab . Oleh penulis dan pendakwah bebas daripada Ustaz Noor Hisham Ismail . 

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !