Baju dia kotor

As'salamualaikum , 

Sepasang suami isteri baru sahaja berpindah ke rumah baru . Setelah memindahkan kesemua perabot dan barangan , si isteri memilih satu sudut yang menghadap tingkap bagi meletakkan meja tulis . 

Di situlah nanti dia akan menghabiskan masanya dengan menulis dan mengemas kini blognya memandangkan dia suri rumah sepenuh masa . 

Sambil menulis , dia dapat memerhatikan segala gelagat jirannya dari tingkat dua pangsapuri yang disewa . Apatah lagi kawasan yang didiaminya itu kawasan yang terkenal sebagai kawasan yang berpenduduk padat . 

Pada suatu hari , dia ternampak jirannya menjemur baju . Tetapi ada sesuatu yang tidak kena . Apabila suaminya pulang , diceritakan kepada suaminya perihal jirannya itu . 

" Saya rasa jiran kita tu tidak reti mencuci bajulah abang , " luahnya kepada suami , satu-satunya teman berbual . 

" Kenapa sayang cakap macam tu ? " 

" Sebab saya nampak baju-baju yang dia jemur macam kurang bersih . Masih ada lagi kotoran yang melekat " 

" Oh , " balas suaminya ringkas sambil mencuri pandang ke arah tingkap . 

Setelah seminggu berlalu , si isteri bercerita lagi kepada suaminya , " Jiran kita tu dah reti cuci baju . Saya tengok baju yang dia jemur tu bersih . Tidak macam biasa " 

Suaminya terangguk-angguk . 

" Masalahnya bukan jiran kita tu tidak tahu mencuci baju atau cuci baju ala kadar , tetapi masalahnya ialah tingkap kita ni yang kotor . Hari Ahad hari tu abang dah cuci tingkap tu sampai bersih berkilat , "  jelas suaminya . 



PENGAJARAN ; 

Satu jari telunjuk yang menuding ke arah orang lain , hakikatnya empat lagi menunjuk ke arah diri kita sendiri . Sebelum menyalahkan orang lain atas sesuatu yang kita sendiri belum jelas tentangnya , koreksi diri kerana kita juga ada kesalahan sendiri .


Sumber : Majalah Solusi isu no 38 m/s 112 . 

p/s : Tanpa kesalahan kita tidak tahu apa salah kita . Jadi , saya juga sebagai HambaNya haruslah sentiasa memikirkan kesalahan diri kerana kita ini tak sempurna . Ya ALLAH , ampuni hambaMu yang lemah ini . Bukakan pintu hati hambaMu yang lemah ini . Amin .

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !