Bajet bagus

As’salamualaikum ,


“ Maaflah kalau kata-kata saya ini macam bajet bagus , saya tidak berniat . . “


BAHANA BAJET BAGUS ;

“ Bajet bagus “ ialah istilah moden yang popular digunakan kini . Apa maksudnya sebenar saya tidak pasti , tetapi jika diteliti kedua-dua petikan kata-kata tersebut , fahamlah kita bahawa orang yang bajet bagus ini mungkin merasaka dirinya serba bagus , penting , bijak dan hebat , hatta tidak memerlukan pandangan dan nasihat orang lain .



Inilah perkara yang melanda umat Islam akhir zaman apabila persoalan adab dikesampingan ;


Orang berilmu jika tidak disempurnakan dengan adab , akan menjadi bajet bagus .

Orang kaya jika hilang adab , akan jadi sombong , bongkak dan bakhil .

Orang miskin yang tidak beradab akan menjadi sampah masyarakat yang melambakkan masalah sosial yang lain .

Anak yang tidak diajar beradab , akan jadi biadab .

Ibu bapa yang lemah adab , akan hilang tanggungjawab .

Pemimpin yang tidak mengambil soal adab , ada kecenderungan menjadi pemimpin yang zalim ; beraja di mata , bertakhta di hati . 

 
BANGGA DENGAN DIRI SENDIRI ;

UJUB : Berasa takjub dengan diri sendiri . Berasa dirinya hebat dan lebih daripada orang lain walaupun perasaan itu mungkin tidak terlafaz atau dizahirkan dengan kata-kata .

Guru saya memberikan contoh berikut ;

Seorang yang bangun awal pagi bertahajud , sendirian di bilik tanpa diketahui oleh sesiapapun , meratap merayu kepada ALLAH , boleh etrpercik penyakit ujub jika terdetik dihatinya perasaan dan kata-kata :

“ Alhamdulillah , awal aku bangun pagi ini , tidak sangka pula dapat tahajud dalam keadaan jiran semua tidur lena “

Cukup merasai kehebatan diri sendiri itu , walau tiada sesiapa yang tahu dia bertahajud , maka rasa takjub dengan diri sendiri itulah namanya ujub .

Contoh lain ;

Jika selepas tahajud , maka si polan itu segera ke masjid untuk solat Subuh berjemaah . Selepas berjemaah , dia sengaja bertanya kepada jirannya soalan seperti ini :

“ Jam 5.00 pagi  tadi ada dengar tak bunyi jam loceng ? Saya dengar sampai ke rumah saya , ganggu wirid dan tahajud saya tadi ! “

Penyakit ujub yang dilayan dan dibiarkan bermain-main di perasaan , jika tidak dibendung dan dirawat segera , akan mudah merebak menjadi riyak .


PENYAKIT BAWAAN IBLIS ;

Riyak yang kronik akan membawa si penghidapnya kepada takabbur , iaitu kemuncak keburukan akhlak pada mana-mana makhluk . Orang yang takabbur akan berbangga dengan kelebihannya dan menempelak orang lain dengan mengganggap semuanya lemah dan buruk .

Contoh ;

“ Awat hang tak bangkit solat Subuh ? Teruklah hang ni . Tengok macam aku , setengah jam sebelum azan , sudah siap tahajud dan nak pi masjid dah . Bukan macam hang , dok berdengkur lagi “

Takabbur ialah penyakit bawaan iblis yang berasa dirinya lebih hebat berbanding Nabi Adam a.s  ;
Seperti yang diceritakan menerusi kitab Al-Quran apabila iblis enggan sujud (hormat) kepada Nabi Adam a.s seperti para malaikat yang lain , iblis membantah dengan kata-kata :

“ Aku lebih baik daripada Adam , Engkau (wahai ALLAH ) jadikan aku daripada api sedangkan dia , Engkau jadikan daripada tanah “  [Surah al-A’raf 7 : 12]

Takabbur sang iblis menyebabkan dia dihalau keluar dari syurga oleh ALLAH s.w.t . Sifat takabbur adalah sifat yang amat dibenci oleh ALLAH s.w.t . Bahkan terdapat hadis kudsi yang mafhumnya :

“ Takabbur itu selendang-Ku dan kebesaran itu kain sarung-Ku . Maka sesiapa bertengkar dengan Aku pada salah satu daripada dua (sifat) itu , nescaya Aku campakkan dia ke dalam neraka jahanam “
         
       [Riwayat Ahmad]

Orang yang bajet bagus , tidak menghimpunkan apa-apa pada dirinya kecuali kebencian dan kemarahan orang lain . Kita akan berasa meluat dan menyampah jika ada dalam diri kita sifat bajet bagus . Yang rugi ialah diri kita sendiri kerana menutup pintu ;

NASIHAT | TEGURAN | PANDANGAN ORANG LAIN


Dikhuatiri akan terus hanyut dibuai perasaan sendiri dan mudah terjerumus ke lembah ;


MAKSIAT | KELEMAHAN | DOSA | KESALAHAN


Paling tidak pun , dengan ujub , riyak dan takabbur itu sendiri menjadikan diri kita akan dibenci oleh ALLAH s.w.t . Nauzubillahi min zalik .


Sumber : Majalah Solusi m/s 27 & 29 Ir. Ahmad Jais Alias al-Syazali .


p/s :  Kepada ALLAH s.w.t kita bermohon supaya dipelihara daripada walau setitik pun sifat ujub , riyak dan takabbur dalam hati . Info ini saya ringkaskan sedikit , semoga saya dan semua dapat jauhi dan matikan sifat ini , InsyaALLAH . Amin . Wallahualam .

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !