Redha akan Anugerah ALLAH , menjadikan anda orang terkaya di dunia !







As’salamualaikum , Alhamdulillah bertemu lagi kita di Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kenikmatan . Bersyukur kehadrat ALLAH S.W.T kerana dengan izinNya kita masih dapat bertemu pada bulan Ramadhan pada tahun 2011 ini . Panjatkan tinggi selawat buat kekasih hati kita , baginda Rasulullah S.A.W .

Tepat jam 11.42 pagi , saya ada membaca sebuah buku yang berjudul La-Tahzan . Pengenalan ringkas buku La-Tahzan  ini ialah mencuba menyelesaikan berbagai masalah dalam kehidupan manusia . Permasalahan yang timbul akibat keraguan , kegelisahan , dukacita , penderitaan , kesedihan , keputusasanya , hilang harapan , kekecewaan dan berbagai lagi .


Buku ini memberikan kita semangat , motivasi dan meningkatkan keyakinan kembali dalam diri setelah melalui kegelapan hidup sebelum ini . Implikasinya di sini , buku ini  ingin membantu muslimin , muslimat serta umat manusia yang lain agar sentiasa ‘takwa’ atau berhati-hati dalam kehidupan . La-Tahzan ayat bahasa Arab dan terjemahannya ialah ‘Jangan Sedih’ atau dalam Englishnya pula ialah ‘Don’t Be sad’ .


Merujuk dengan apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah , saya ada terbaca mengenai satu tajuk yang amat sesuai buat kita semua yakni ‘ Redha Akan Anugerah ALLAH , Menjadikan Anda Orang Terkaya di Dunia ‘ . Ringkasnya , makna daripada sikap ini adalah bahawa kita haruslah rela hati dan bersyukur dengan setiap pemberian ALLAH , baik yang berupa bentuk badan , harta , anak , tempat tinggal , pangkat ataupun bakat kemampuan . Dan makna inilah yang tersirat dari ayat AL-Quran seperti berikut :



. . . sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur . [ Al-A’raf : 144 ]



Terdapat 2 jenis manusia :


PERTAMA - - - -

Sebahagian besar ulama salafus soleh dan generasi awal umat ini adalah terdiri daripada orang fakir miskin . Mereka tidak memiliki harta yang banyak , rumah yang indah , kenderaan yang baik dan juga pengawal peribadi . Namun , mereka ternyata mampu membuat kehidupan ini justeru lebih bermakna dan membuat diri mereka dan msayarakatnya lebih bahagia . Yang demikian ini adalah kerana mereka sentiasa memanfaatkan setiap pemberian ALLAH di jalan yang benar . Kerana itu pula , umur , waktu dan kemampuan atau keterampilan mereka menjadi penuh berkat .


KEDUA - - - -

Sebaliknya terdapat sekolompok manusia yang telah dikurniakan ALLAH dengan berbagai jenis kenikmatan berupa harta yang melimpah ruah , anak yang ramai dan nikmat yang lainnya akan tetapi semua itu justeru menyebabkan diri mereka sentiasa merasa penuh dengan penderitaan , kecemasan dan kegelisahan . Ini adalah kerana mereka telah menyimpang dari fitrah yang suci dan tuntutan hidup yang benar . Ini menjadi bukti bahawa segala material yang sementara bukanlah merupakan satu-satunya alat yang dapat menyelesaikan segala persoalan .


Sekiranya anda inginkan kebahagiaan , maka terimalah dengan rela hati bentuk tubuh yang telah ALLAH kurniakan untuk anda , redhalah dengan keluarga yang anda miliki , suara anda , kemampuan daya ingatan anda dan pemahaman anda dan seberapa pun penghasilan yang anda terima ! Bahkan , orang yang memelihara sifat zuhud akan bersifat lebih daripada itu . Mereka akan berkata kepada anda :



“ Sayugianya anda berlapang dada terhadap apa yang anda miliki , meskipun ianya sedikit dan janganlah anda merasai kekurangan “



Bahkan kebanyakkan para Nabi dan Rasul ALLAH pernah menjadi penggembala kambing . Walaupun mereka termasuk manusia-manusia pilihan ALLAH dan sebaik-baik manusia , namun pekerjaan mereka tidak jauh berbeza daripada manusia yang lain pada umumnya seperti :

·        Nabi Daud ‘Alaihissalam – seorang tukang besi
·        Nabi Zakaria ‘Alaihissalam – seorang tukang kayu
·        Nabi Idris ‘Alaihissalam – seorang tukang jahit


. . . Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia . . .  [ Az-Zukhruf : 32 ]


p/s : Harga diri kita ditentukan oleh kemampuan , amal soleh , kemanfaatan dan akhlak yang kita miliki . Oleh kerana itu janganlah bersedih memiliki wajah yang kurang cantik , kekurangan harta , anak yang sedikit dan rumah yang tidak indah ! Terimalah setiap pemberian ALLAH dengan penuh kerelaan hati . Walahualam .

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !