Mahasiswa mesti jaga akhlak !




As'salamualaikum . Apakah sebenarnya yang mahu dibuktikan oleh sekumpulan pelajar promahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menimbulkan kekecohan sehingga beberapa orang cedera di universiti itu baru-baru ini .

Pada saya , kekecohan yang khabarnya berlaku selama 17 jam itu bukan semata-mata memprotes timbalan UPM membatalkan kemenangan 11 calon promahasiswa , tetapi mungkin ada sebab yang lain . Jika tidak masakan kerosakan akibatnya agak memeranjatkan . Selain beberapa orang termasuk pengawal keselamatan UPM sendiri cedera , keroskanan harta benda juga bukan sedikit . Kejadian itu kini menjadi kes polis .

Paling mendapat kesan ialah imej UPM sendiri . Bagi orang luar , agaknya begitulah cermin sikap buruk bakal pemimpin masa depan kita . Di manakah kualiti kepimpinan dan keintelektualan lepasan menara gading jika demikianlah cara mereka menyelesaikan masalah ? Jika akhlak diambil kira , adakah begitu akhlak bakal pemimpin masa depan negara ?

Sudah pasti ada dalang di sebalik kedangkalan tindakan  kebudak-budakan itu ? Atau mereka terikut-ikut dengan gelagat kelompok tertentu di luar sana yang hanya nampak tindakan berdemostrasi dan ganas yang boleh menyelesaikan masalah . Jika begitulah halnya , cetek benar pemikiran kumpulan pelajar terbabit .

Walau apapun masalah dan kemusykilan yang timbul ekoran pilihan raya kampus , proses penyelesaian sepatutnya bersifat tertib dan matang . Tidak dinafikan mungkin ada kesilapan tertentu yang menyebabkan kemenangan 11 calon promahasiswa itu dibatalkan . Atau mungkin juga kekalahan mereka adalah tulen . Kesemua itu boleh dirungkai secara harmoni bukan dengan cara membuat kecoh .

Saya fikir pihak universiti selepas ini harus berlapang dada dan lebih terbuka dalam mendengar dan menyelesaikan masalah yang timbul . Manalah tahu pada pilihan raya kampus akan datang , masalah dan penyelesaian kekecohan yang berlaku di UPM akan jadi iktibar atau panduan kepada IPTA yang lain . Bersifat tertib dan meneriman penjelasan sepatutnya menjadi budaya golongan pelajar . Menerima kelemahan diri sendiri dan bangkit membaikinya juga amalan terpuji .

Begitulah sepatutnya sentiasa terpahat pada pemikiran bakal pemimpin negara ini selain melancarkan demostrasi yang bukan-bukan . Sedarkah kumpulan yang berdemostrasi itu ? Di hadapan siapakah mereka menunjukkan perangai buruk itu ? Bukankah sasaran kemarahan mereka itu ialah pendidikan dan pemimpin universiti mereka sendiri . Jika marah sekali pun , hormatilah mereka sebagai orang yang lebih dewasa . Jika kumpulan yang mereka marah itu orang dewasa , selesaikanlah masalah secara orang dewasa .
 
Bukankah tempat mereka menunjukkan perasaan itu tempat yang mulia di mana ilmu dan ilmuwan menjadi paksi bukan pasar . Di pasar sekalipun orang ramai masih tertib dalam tawar-menawar . Sedarlah bahawa proses demokrasi telah pun dilaksanakan di UPM dan IPTA lain . Ada yang menang ada yang kalah . Kumpulan yang menang kita ucapkan tahniah , kepada yang kalah pula tentu ada sebabnya dan kita mahu mereka tetap berkhidmat walaupun mereka tewas .

Calon-calon yang bertanding seharusnya menoleh kembali tujuan mereka bertanding . Mereka menawarkan diri untuk memimpin dan berkhidmat . Walau apa pun label yang dibawa sama ada proaspirasi , promahasiswa atau tiada label , perjuangan hakiki adalah untuk menjadi perantara di antara pihak universiti dengan pelajar dalam menyelesaikan permasalahan pelajar . Di hadapan mereka ialah pelajar-pelajar lain yang menunggu dengan harapan perkhidmatan orang yang mereka pilih .

Kepada mereka yang berdemostrasi , jangan fikir mereka disokong seratus peratus oleh penyokong-penyokong . Sudah pasti ada yang menyesal memilih mereka dek perlakuan buruk . Lihatlah akibatnya , kemenangan mereka sepatutnya disyukuri tetapi lain pula masalah yang timbul . Kepada yang terbukti terbabit dalam kekecohan di UPM itu , mereka sudah pasti akan diambil tindakan tegas oleh pihak universiti . Jika begitulah keadaannya sia-sialah kemenangan yang diperoleh .

 








SUMBER : KERATAN AKHBAR KOSMO m/s 10

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !