Muhasabah aktiviti kita

As'salamualaikum ,

Agak-agaknya dalam satu hari satu malam , banyak majlis yang telah berlangsung , sedang dan akan berlangsung . Hari ini pun , kita sendiri ada menghadiri beberapa majlis dan akan memenuhi beberapa undangan keluarga dan rakan-rakan sebagaimana yang telah disusun dan dirancang . Persoalannya , apakah majlis ataupun program yang kita hadiri dan bakal hadiri itu majlis yang beronrientasikan dan berlandaskan kepada mengingati Allah ( zikrullah ) ataupun tidak ?


APA YANG BERLAKU ? . . 


Majlis atau program yang berorientasikan dan berlandaskan zikrullah adalah majlis yang dicintai Allah dan para malaikat . Di majlis-majlis seumpama inilah turunnya kerahmatan dan melimpahnya keberkatan . Berusahalah untuk sentiasa dapat menghadiri dan menyertai majlis , perkumpulan , program dan aktiviti seumpama ini . InsyaAllah ! Cemerlang . 

Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Tidaklah satu kaum berkumpul untuk berzikrullah melainkan malaikat akan hadir bersama mereka dan rahmat akan menyelimuti mereka . Kepada mereka akan turunnya sakinah ( ketenangan )  dan Allah akan menyebut ( memuji-muji ) mereka di kalangan hamba yang berada di sisiNya ( Para Nabi dan malaikat )
[Hadis sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Muslim . Hadis ini juga terdapat dalam Sahihul jami' no : 7757]


Andaikata majlis kita majlis yang penuh dengan kelalaian serta dosa , maka para malaikat rahmat tidak akan menyertai dan mendampingi kita . Para malaikat selamanya akan menjauhi dan meninggalkan majlis-majlis yang berorientasikan kelalaian dan kosong dari zikrullah . Alangkah ruginya kita .

Sekiranya kita mengabaikan zikrullah ( mengingati Allah ) pada majlis dan program kita , maka sama ada sedar ataupun tidak , hukuman duniawi telah pun bermula . 


APAKAH HUKUMANNYA ? . .


Sebuah kelalaian , kealpaan dan kelaghaan 
Mungkin orang-orang fasik tidak merasakan kepedihan apa-apa lantaran hati mereka yang telah tenggelam dalam kederhakaan . Namun , dihukum dengan sebuah 'kelalaian' pun sudah cukup menjadi azab yang amat pedih dalam jiwa orang-orang yang beriman .
  
Majlis yang lagha tersebut langsung tidak dihadiri para malaikat rahmat 
Malaikat tidak hadir ? Ohh , kerugian yang sungguh besar ! Bukankah para malaikat rahmat hadir dalam majlis-majlis zikrullah untuk mendoakan keampunan dan kesejahteraan atas sekalian hadirin yang duduk dan singgah di dalamnya ? 

Maka gantinya , hadirlah syaitan-syaitan yang kerja mereka membujuk , menggoda , menghasut dan mewas-waskan sekalian hadirin yang ada ke arah kejahatan dan penderhakaan terhadap Allah s.w.t .

Berat impaknya 
Majlis yang kosong daripada zikrullah akan diwartakan sebagai majlis yang 'kosong' pula daripada pahala dan kebajikan  .

Berkaitan dengan apa yang kita bincangkan , terdapat riwayat daripada Jabir r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :

" Tidaklah satu kaum berkumpul lalu berpisah dengan tidak berzikrullah dan berselawat atas Rasulullah s.a.w melainkan mereka bersurai dengan ( keadaan ) bau yang lebih busuk daripada bangkai . "  
[ Hadis sahih ditakhrijkan oleh Imam at-Toyalisi dan Imam al-Baihaqi dalam kitab Syu'abul Iman , juga oleh Imam Dhiyauddin . Lihat juga Silsilah Ahadith Sahihah : 80 . Hadis ini juga ada di dalam Sahihul Jami' no : 5506 ]



 Majlis yang dimaksudkan di atas adalah majlis yang sunyi daripada ketaatan , kosong daripada zikrullah dan selawat Nabi . Di akhirat nanti , sekalian yang hadir di dalam majlis sebegini akan dirunding penyesalan dan kesedihan .

Lihatlah , majlis yang kosong daripada zikrullah dan selawat pun tidak mendapat perhatian Allah  , berbau bangkai dan tidak dihadiri oleh para malaikat . Allah ! Agaknya bagaimanakah kedudukan majlis-majlis yang berorientasikan dosa dan maksiat seperti majlis yang tunggang langgang dengan aktiviti minum arak , berzina , judi , tari-menari , pergaulan bebas , tidak menutup aurat dan gejala meninggalkan solat ? Apakah pandangan Allah dan para malaikat terhadap majlis-majlis yang seumpama ini ?

Ayuh ! Mari pakat muhasabah majlis , program , aktiviti anjuran kita . Agar tidak busuk dan hanyir pada pandangan Allah . walahualam . 

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !