Doa itu solusi

Assalamualaikum sahabat semua, hari ni saya nak kongsi satu kisah yang menyentuh hati bagi sesiapa yang merasa, berkenaan doa. Doa itu solusi, suatu penyelesaian bagi apa saja masalah. 

Percaya dan yakin hanya pada Allah. Doa itu usaha kecil kita. Sungguh-sungguh berdoa, InshaAllah akan Allah kabulkan. :)

Bismillah...

Kisah ini diceritakan oleh Anas,

Seorang sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم  iaitu sahabat Ansar yang dikenal dengan nama Abu Mu'laq adalah seorang ahli ibadah yang sangat menjaga diri. Dia juga dikenali sebagai ahli perniagaan yang hebat. Kerana kehebatannya, dia sering dijadikan contoh.

Suatu hari, dia pergi ke pasar. Seorang perompak menahannya. Si perompak itu bertopeng dan bersenjata.

"Letakkan hartamu, sebab aku akan membunuhmu," kata si perompak.

"Adakah engkau menginginkan darahku? Ambillah hartaku," Kata Abu Mu'laq.

"Kalau harta itu, jelas akan aku peroloeh, tetapi sekarang aku tidak ingin selain merampas darahmu," gertak si perompak.

"Baik, kalau engkau enggan memenuhi sarananku, biarkan aku solat empat rakaat dulu," kata Abu Mu'laq pula.

Kata si perompak, "Silakan kalau cuma sekadar solat."

Abu Mu'laq lantas berwudhu dan mengerjakan solat empat rakaat. Antara doanya diakhir sujud, yang maksudnya;

"Wahai Zat yang Maha Pengasih, Wahai Zat Pemilik Arsy yang mulia, Wahai Zat yang mengerjakan segala yang diinginkanNya, Aku meminta kepadaMu dengan kemuliaanMu yang tidak mungkin boleh ditandingi dan dengan kerajaanMu yang tidak mungkin boleh digenggam dan dengan cahayaMu yang memenuhi penjuru singgahsanaMu, agar Engkau menghindarkan aku daripada kejahatan perompak ini. Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku, Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku, Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku, Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku."




Abu Mu'laq mengulangi doanya sebanyak tiga kali. 

Tiba-tiba datang seorang penunggang haiwan yang membawa tombak, dia mengangkat tombak di antara kedua telinga haiwan kenderaannya. Ketika dia melihat perompak tadi, dia menghampirinya dan ditusukkannya tombak itu dan berjaya membunuhnya.

Kemudian penunggang tadi menemui Abu Mu'laq dan berkata, "Bangkitlah."

Abu Mu'laq bertanya, "Siapakah engkau sebenarnya? Allah menolongku dengan perantaraanmu hari ini."

"Aku adalah malaikat penghuni langit keempat, ketika aku mendengar doamu yang pertama, di langit ada suara bergemuruh. Ketika engkau memanjatkan doamu yang ketiga kalinya, aku mendengar suara,'ini adalah suara orang yang sedang dalam kesusahan'. Terus sahaja aku memohon kepada Allah agar menjadikan aku sebagai pembunuh perompak itu," demikian bicara malaikat itu kepada Abu Mu'laq.

Allah... Sungguh menyentuh hati kan.? :') Pertolongan Allah dari arah yang tidak disangka-sangka.

Anas mengulas cerita ini, perhatikan, siapa yang berwudhu dan solat empat rakaat dan memanjatkan doa ini, doanya akan dikabulkan, samaada ketika dia dalam kesusahan atau tidak. InshaAllah.

Yang terpenting bagi kita, bukanlah kisah Abu Mu'laq ini, tetapi mampu kah kita menjadi seperti Abu Mu'laq ini?
Yang menjadikan doa sebagai jalan penyelesaiannya dalam menghadapi kesusahan. 

Allahu Allah. Ramai antara kita yang lupa akan kepentingan berdoa ini, ramai yang meperlekehkan usaha doa ini. Sedarlah wahai sahabat, Allah itu Maha Kuasa, Maha Pengasih, Maha Pemberi, maka, mintalah apa saja yang baik daenganNya, nescaya akan Allah kabulkan.

Kalau berdoa 3 kali pun tak dapat, tambahlah lagi 4 kali. Janganlah cepat berputus asa, gandakan doa, sungguh-sungguh dan jaga adab berdoa. InshaAllah. Allah akan kabulkan.

Jangan bersedih. Bangkitlah! :')

Moga ada manfaatnya untuk semua. InshaAllah.

#Kisah ini saya kongsikan dari Buku Dahsyatnya energi Syukur, Istighfar, Muhasabah. Karangan Muhammad Azhar. 

Sebar Bahagia!

Sumber : Sebar Bahagia via SINI

Barakah Binti Tsa'alabah : Wanita ahli Syurga

As’salamualaikum ,


Binti Tsa’labah Bin Amru Bin Hisham Bin Malik Bin Salmah Bin Amru Bin Nu’man al-Habasyiah atau biasa dipanggil dengan nama ‘UMMU AIMAN’ adalah pengasuh kepada Rasulullah S.A.W sehingga baginda dewasa . SubhanaALLAH , Maha Suci ALLAH


Selepas Rasulullah S.A.W berkahwin dengan Khadijah Binti Khuwailid , baginda telah memerdekakan Ummu Aiman yang kemudiannya dinikahi oleh Ubaidullah Bin Haris al-Khazraji . Hasil perkahwinannya , beliau dianugerahkan anak bernama Aiman r.a yang mana Aiman r.a turut ikut berhijrah dan berjihad sehingga syahid dalam perang Hunain .

 SEBAIK-BAIK PERHIASAN DI DUNIA ADALAH WANITA SOLEHAH


Ummu Aiman begitu dimuliakan oleh Rasulullah S.A.W dan baginda sering mengunjunginya dan memanggilnya dengan berkata ,

“ Wahai ibu .. “

 Baginda S.A.W bersabda :
“ Beliau (Ummu Aiman) adalah termasuk ahli baitku “

Baginda S.A.W juga bersabda :
“ Ummu Aiman adalah ibuku setelah ibuku “
[HR al-Hakim]

Rasulullah S.A.W dijaga dan dilayan dengan lemah-lembut oleh Ummu Aiman begitu juga sebaliknya . Sehinggakan setelah datangnya utusan kenabian ,


Baginda Rasulullah S.A.W bersabda :
“ Barang siapa yang ingin berkahwin dengan wanita ahli syurga , makan hendaklah dia mengahwini Ummu Aiman “
[HR Ibnu Sa’ad]

Maka akhirnya , Zaid Bin Haritsah menikahi Ummu Aiman dan dikurniakan Usamah Bin Zaid , buah hati Rasulullah S.A.W daripada hasil perkahwinan kali keduanya itu .



BEGITU MENYAYANGI AGAMA ISLAM

Ketika Rasulullah S.A.W wafat ,

Abu Bakar r.a berkata kepada Umar r.a :
 “ Pergilah bersama kami menemui Ummu Aiman , kita akan mengunjunginya sebagaimana Rasulullah S.A.W telah mengunjunginya “

Sebaik-baik mereka tiba di rumah Ummu Aiman , mereka melihat beliau sedang menangis . Kemudian , keduanya bertanya ,

“  Apa yang membuat kamu menangis wahai Ummu Aiman ? Bukankah apa yang ada di sisi ALLAH lebaih baik bagi Rasulullah S.A.W ? “

Ummu Aiman pun menjawab , bukan kerana tidak tahu bahawa apa yang di sisi ALLAH SWT itu lebih baik bagi RasulNya , tetapi aku menangis hanya kerana telah terputusnya wahyu dari langit “

Hal ini membuat Abu Bakar r.a dan Umar r.a turut menangis sehingga bersama-sama Ummu Aiman .

Manakala pada saat kematian Umar bin Al-Khathab r.a , Ummu Aiman turut menangis sambil berkata ,

“ Pada hari ini Islam menjadi lemah “

Kemudian Ummu Aiman berkata wafat pada masa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a iaitu 20 hari setelah kematian Umar r.a .

SEMOGA ALLAH MERAHMATI UMMU AIMAN YANG MENJADI PENGASUH KEPADA PEMIMPIN AGUNG UMAT MANUSIA, NABI MUHAMMAD S.A.W 

Beliau adalah seorang wanita yang cekal, rajin berpuasa dan tahan lapar yang mana berhijrah dengan berjalan, yang akhirnya diberi minuman daripada air yang tidak diketahui asal-usulnya . Dikatakan air tersebut minuman dari langit sebagai penyembuh kepada kehausan yang beliau alami . Kuasa ALLAH . ALLAHUAKBAR !

Sumber ; Majalah Dara edisi 115 Januari 2012 m/s 86 tajuk SRIKANDI . Hebat beliau . Semoga ALLAH merahmatinya di syurga ALLAH . Amin . JazaakALLAHu Khaira . Wallahualam .

Nak bercerita

As'salamualaikum , 

Alhamdulillah kepada ALLAH S.W.T kerana memberi masa ini buat kita semua . Gunakan dengan manfaatnya wahai diri dan diri anda . Amin . Selawat dan salam jangan dilupakan buat Nabi Muhammad S.A.W yang telah banyak memberi syafaat samada kita sedar atau tidak . Kebenaran tetap yang benar . Benar dan palsu itu jauh bezanya . Jangan dicampur gaulkan kerana ia tetap tidak sama . Doa buat ahli keluarga Rasulullah S.A.W , para sahabat Rasulullah S.A.W , ibu bapa , sahabat handai kita , guru-guru , jiran-tetangga , muslimin muslimat yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia dan begitu juga diri sendiri . Amin .

Okay , malam ni penat . Haha baru lepas pergi mydin lepas zuhur tadi . Mydin seremban . Pendalaman sikit , tersorok . Bila tengok , besarnya . Mydin murah juga , ayah ada kata . Bila nak beli barang-barang masuk universiti nanti beli kat Mydin aja . Tempatnya bersih dan memang menepati citarasa . InsyaALLAH , mudah-mudahan saya dan sahabat lain dapat . Memang teringin sangat walau diri ini banyak kekurangannya dalam pelajaran . Mudah-mudahan , dapat masuk . Amin .

InsyaALLAH bila kita dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang memang niat nak belajar , nak berjaya kita akan turut ikut sama . Kenapa ? Sebenarnya , kawanlah lebih kuat pengaruhnya buat diri kita . Kadang-kadang masalah remaja salah satunya berpunca dari pengaruh kawan . Kerana itu pemilihan kawan adalah amat dominan . Alhamdulillah , ALLAH memberikan saya sahabat yang sentiasa memberi sokongan . Yang baik diikuti , yang tak baik sentiasa berkongsi dan berbincang sesama macam mana nak selesaikan masalah itu . Syukur kepada ALLAH . Moga ALLAH merahamati sahabatku dan semuanya ya (: . Amin . 


Haha , HA ! Okay , pasal kereta memanglah 'manual' sukar . Haha , OKAYLAH ! Tapi 'auto' mudah . Haha , yeah manusia memang semuanya nak mudah je . Dunia dah berubah katakan . Mhuaa , tapi dari sukar tu sebenarnya kita akan tempuhi yang mudah . Sebenarnya benar . Tak ada orang yang malas akan berjaya tapi orang yang berjaya tak ada yang malas . Contoh macam kita ambil lesen kereta . Kalau ambil kereta 'manual' nanti bila nak bawa kereta 'manual' dan 'auto' pun boleh TAPI kalau ambil kereta 'auto' sahaja bila nak ambil lesen hanya kereta 'auto' sahaja boleh bawa . Kalau bawa kereta 'manual' hukuman dia sama macam kita tak bawa lesen . Dah kena mata demerit . Ceh , jadi guru pula  . Keputusan di tangan anda XD .


' Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian '


Dunia dah makin tua. Tanda-tanda kiamat pun dah banyak terjadi. Ya ALLAH aku banyak silap dan salah. Aku tahu itu dosa namun aku lakukan juga. Ya ALLAH, terima kasih Engkau masih sedarkan diri yang lemah ini . Redhailah perbuatan kami . Tanamkanlah sifat ikhlas dalam diri . Jadikan dunia ini manfaat untuk kami perolehi di hari kiamat nanti . Ya ALLAH bagaimana diriku di hadapanMu nanti . Aku tersungkur atau apa Ya ALLAH . . . Ya ALLAH ampuni daku ampuni daku ampuni daku . 

p/s : Ya ALLAH jangan hilangkan hidayat dan petunjukMu dalam diri kami . Jangan kami lupa untuk mensyukuri sebaik-baiknya apa yang telah kami dapat . Ini semua dariMu . Tetap hanya dariMu sahaja . Amin . JazaakALLAHu Khaira . Wallahualam .



Izin ALLAH atau redhaNya kah ?

As'salamualaikum , 

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH , dengan izinNya dapat lagi kita bertemu . Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang kita semua cintai . Doa buat Nabi Muhammad S.A.W , para sahabat Rasulullah S.A.W , ahli keluarga Rasulullah S.A.W jangan kita tinggalkan . Amin . InsyaALLAH .

Sangat risau dan bimbang. Gelisah. Tak senang duduk.

 Bila memikirkan, dalam semua perkara yang kita lakukan – tidur, bangun, mandi, solat, breakfast,pergi kelas, study di perpustakaan, lunch, rehat, tidur lagi, siapkan assignment, berkawan, berjalan dan bersukan, menulis blog, keluar masuk rumah, pergi sana sini, rancang itu dan ini, beli itu beli ini – ok banyak! Semua la, semua.

Semua benda yang kita buat, pernahkan kita merasakan sangat risau..,


 Memikirkan..,


 Adakah..,


Baiklah. Sebenarnya, elok kita timbulkan persoalan, pernahkah kita sangat risau samada Allah redha atau tidak dengan apa yang kita buat selama ini. Samada kerja baik, kerja separa baik, atau kerja yang sikit saja unsur baik nya. Kerja yang buruk tak perlu kita bincangkan rasanya, sah-sah Allah tak redha. Jadi, agak-agak nya..adakah Allah redha dengan semua itu?


“laa..dah kau buat tu, Allah ok je la tu. Kalau tak, Dia tak bagi pulak kau buat..” Oh no no, you’re so wrong my friend.


ALLAH IZIN TAK BERMAKNA ALLAH REDHA.

Kalau tidak, maka tak akan wujud la orang-orang yang kufur dan berbuat maksiat. Tidak akan ada lah kes-kes rompak bank, mencuri basikal, menyiksa ayam dan binatang lain, dan pelbagai lagi jenayah-jenayah zalim. Namun, perkara-perkara ini tetap wujud, sebab Allah izinkan. Tapi, sudah tentulah Allah tak redha, kan?


Ada sebabnya kenapa Allah izinkan ia terjadi juga. Itu lah namanya hikmah, kan.


Maka berbalik kepada soal redha tadi, kita sepatutnya susah hati memikirkan soal ini. Bukan terlalu merisaukan keizinan Allah dalam melaksanakan sesuatu agenda kita lalu berdoa, bermunajat, tunaikan solat hajat segala dengan harapan Allah perkenankan lalu izinkan ia berlaku, sehingga terlepas pandang pada persoalan – adakah Allah redha kalau aku mahukan itu dan ini?

Kerana ya, kita wajib ingat, Allah memang Maha Adil dan Pemurah, siapa yang berusaha maka dia akan dapat. Man jadda, wajada. Termasuk lah usaha doa, moga dia akan dapat, moga Allah akan beri. Ambil contoh perompak-perompak yang bertahun merancang rapi satu rompakan besar di bank yang besar, dengan segala kelengkapan dan latihan yang mereka jalani, kalau benar pada kaedah nya Allah izinkan juga mereka peroleh tujuan itu. Tak begitu? 

Tetapi boleh jadi, satu perkara yang kita usahakan sehingga Allah izinkan itu adalah satu perkara yang di luar keredhaan Allah namun kita tak sedar.

Di sini lah kerugian yang maha dahsyat nya, di sinilah kita sepatutnya risau, benar-benar risau.
Sudahkah kita khuatiri, samada aktiviti seharian yang kita buat, sudah buat atau bakal buat nanti benar-benar diredhai Allah?

HANYA ALLAH SAHAJA YANG BERHAK DISEMBAH

Bagi yang sedang belajar, nanti kita akan tamat belajar dan berkerja. Ada pula yang akan berkahwin dengan pilihan hati, ada yang merancang hendak memulakan perniagaan, ada yang merancang untuk berpindah menetap di sesebuah tempat, dan bermacam-macam lagi yang kita rancangkan dan usahakan – lalu kita berharap sangat Allah izinkan, tapi adakah kita sudah khuatiri samada Allah redha dengan keputusan itu?

Kita sering menyebut ‘insyaallah’. Semua benda pun, insyaallah. Dimana, ya, itu sangat bagus. Bukan bermakna tak elok menyebutnya pula. Cuma, kita sangat bimbang dan mengharapkan izin Allah untuk kita laksanakan sesuatu, kita mahukan sangat perkara itu berlaku sampai kita sangat berharap Allah izinkan, dan kita ‘sebut-sebutkan’ pula yang kita telah berusaha untuk nya. Tetapi, kita lupa hendak mengharapkan Allah redha. Kita lupa hendak ‘bertanya’ pada 


Allah, Dia redha atau tidak dengan kehendak kita ni?


Bila mendapat sesuatu yang kita mahukan, kita akan berteriak yayyy alhamdulillah!” Lagi, ya, itu sangat bagus. Haruslah kan! Tapi, kita lupa untuk berhenti sejenak dan ‘bertanya’,


“Allah…kau redha kah dengan ini dan ini? Kau tak kisah?”


Saudara muslimin muslimat sekalian. Kita sering terlupa, redha Allah itu tersangat penting. Redha Dia lah yang melayakkan kita ke syurga, kerana tak seorang pun dari kita akan ke syurga kerana amal kita, hattakan Nabi sendiri. 

Pada masa kita tertunduk lemah di hadapan pengadilan Allah kelak, meskipun berbakul-bakul amal yang kita galas dan persembahkan, ia langsung tidak akan menjadi tiket untuk kita ke syurga kalau Allah tidak limpahkan rahmat dan redhaNya pada kita.


“Rasulullah bersabda, ‘Mirip-miripkanlah dan tepatkanlah. Ketahuilah, sesungguhnya tidak ada seorang pun dari kalian yang selamat kerana amalnya.’ Para sahabat bertanya, ‘Juga termasuk anda, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, ‘Juga termasuk aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya.”
[HR Muslim, Kitab: Iman 1/65 No. 38]


Amatlah menyedihkan dan merugikan andainya kita semua terlalu mengharapkan izin Allah sehingga lupa pada something yang paling penting yaitu Redha-Nya dalam segala hal dan urusan.

Jadi marilah kita selepas ni, cakap baik-baik dengan Allah apabila kita mahukan sesuatu, bahawa kalau Dia redha sahaja maka izinkanlah. Kalau Dia tidak redha sepenuhnya maka tak usah lah. Kerana yang kita perlu kejar adalah bukan izin Nya, tapi izin DAN redha-Nya.

Apalah guna kita dapat apa yang kita usahakan, kalau Allah tak redha. Ibarat seperti, apalah guna seorang pindah masuk rumah banglo yang besar di bandar, kalau emak di kampung sembunyikan rasa terkilan dalam hatinya.

Semoga kita terpelihara. Semoga kita sepanjang masa berusaha melakukan perkara yang berpeluang besar untuk mendapatkan keredhaan Allah. Dan ini boleh diukur dari sejauh mana kita mengikut syariat dan sejauh mana kita ikhlas hanya kerana-Nya. Sentiasa lah merayu dan meminta pada-Nya supaya Dia redha sepenuhnya sambil Dia izinkan. Sentiasalah kita berhenti sejenak dan bertanya,


“Allah..kau redha kah dengan ini dan ini? Andai kau tak redha, jangan lah izinkan ya Allah. Biar aku terkilan kerana tidak dapat apa yang aku mahukan, asalkan aku tidak terlepas walau sesaat di dunia ini tanpa redha-Mu..”


Arakian, insyaallah wa radhiallah, semoga kita semua kekal ikhlas dan terus tabah beramal.


“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.”
[Ar-Ra’d (13): 22]g


Sumber : SINI via SINI . Dua-dua sumber memiliki info yang menarik . MARI IKUTI . InsyaALLAH .

Kerbau dan keldai

As'salamualaikum , 

Di sebuah ladang terdapat seekor kerbau dan seekor keldai yang membantu petani mengerjakan kerbun sayur . Mereka berdua bekerja keras saban hari dibawah terik matahari , enam hari seminggu .

Si kerbau yang kepenatan mencadangkan sesuatu kepada si keldai : 

Kerbau : " Apa kata esok kita berpura-pura sakit ? Bolehlah kita berehat " 

Keldai : " Eh , mana boleh ! Engkau tak nampak masih banyak lagi kerja kita yang belum selesai ? "

Kerbau : " Alaa , berehat sehari pun cukuplah "

Keldai : " Terpulanglah pada engkau , aku akan bekerja seperti biasa " 


Keesokann harinya , si keldai bekerja sendirian . Melihat si kerbau lemah tidak bermaya , pemiliknya memberikannya rumput segar untuk diragut . Sebaik melihat keldai balik dari ladang , si kerbau bertanya : 


Kerbau : " Bagaimana hari ini ? Penat ? " 

Keldai : " Mestilah penat , aku bekerja seorang diri hari ni " 

Kerbau : " Banyak kerja yang engkau dapat siapkan ? " 

Keldai : " Sedikit saja , aku bukannya gagah perkasa macam engkau " 

Kerbau : " Tuan ada cakap apa-apa pasal aku ? " 

Keldai : " Tak ada " 


Keesokan harinya si kerbau curi tulang lagi . Alasannya kurang sihat . Sebaik melihat keldai pulang , si kerbau bertanya : 


Kerbau : " Engkau okey ? Bagaimana kerja engkau hari ini ? " 

Keldai : " Aku penatlah , sedikit saja kerja aku boleh siapkan " 

Kerbau : " Tuan ada cakap apa-apa pasal aku ? " 

Keldai : " Tak ada , tapi aku ada dengar tuan berbincang sesuatu dengan tukang sembelih tadi " 


Gulp ! Si kerbau mengelabah  





 PENGAJARAN : 

SIKAP TERLALU KERAP MEMBERI ALASAN AGAR DAPAT MELEPASKAN DIRI DARIPADA SEBARANG TUGASAN HANYA AKAN MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI . 

Sumber : Majalah Solusi isu no 40 m/s 120 . 


p/s : Semoga menjadi pengajaran buat saya sendiri dan semua . Memang kita tak terlepas dari semua ini . Memang kita sebagai manusia , tidak sempurna namun jika boleh sikap ini kita dapat kikis . Jangan terlalu memberi alasan . Jika itu tugas kita dan tanggungjawab kita , pikullah dengan baik . Kerana itu semua akan ditanya di hari kiamat oleh ALLAH S.W.T , Tuhan kita yang Maha Satu . Wallahualam .

Perkongsian dari Wan Ali Akbar

 As'salamualaikum ,
 Ahli psikologi menyebut, terdapat 2 cara dalam memberikan motivasi, iaitu; reward dan punishment. Apabila dihuraikan, 2 cara tersebut dibahagikan kepada 2 lagi, menjadikan ia kepada 4 bahagian, secara ringkasnya positif dan negatif.


Positive reward ialah memberikan sesuatu ganjaran yang disukai oleh orang yang ingin dimotivasikan. Negative reward pula bermaksud menghilangkan dendaan yang patut dikenakan. Positive punishment pula ialah mendenda orang yang ingin dimotivasikan jika tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat, manakala negative punishment pula ialah menarik semula ganjaran yang telah diberikan kepada orang yang ingin dimotivasikan.

Dalam Islam, Allah swt telah lama melaksanakan kaedah tersebut, iaitu melalui pemberian pahala dan dosa. Manusia digesa membuat seribu jenis kebaikan untuk mengumpul pahala, dengan tujuan untuk mendapat reward di hari akhirat, iaitu jannah (syurga). Manakala, dosa pula dihindari supaya terlepas daripada punishment di akhirat, iaitu jahannam (neraka).

Dosa dan pahala, bukanlah penentu akhir arah tuju manusia di akhirat. Mengambil iktibar daripada kisah seorang 'abid yang menghabiskan seluruh masanya untuk beribadat kepada Allah, mengumpul pahala dalam seluruh hayat kehidupannya, namun akhirnya Allah putuskan supaya dia masuk ke neraka, hanya kerana pahala yang dikumpul belum mampu untuk membayar seribu satu kenikmatan yang Allah telah berikan sebagai kemudahannya di dunia.


Sebaliknya, apa yang berlaku kepada seorang pembunuh, yang membunuh 100 lelaki, apabila ditanya tentang pintu taubat, jika ia masih terbuka buatnya, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga, walau belum pernah membuat sebarang amalan, kerana niatnya untuk berhjijrah dan bertaubat kepada Allah swt.

Kedua-dua kisah ini jelas menunjukkan bahawa yang menentukan segala-galanya adalah Allah swt dengan sifat rahmat belas kasihan-Nya dan kasih-sayang-Nya. Namun, persoalannya, adakah berdasarkan kepada kedua kisah ini, manusia tidak perlu kepada pengumpulan pahala dan penghindaran dosa? Jawapannya, sudah tentu tidak.

Menjadi tanggungjawab manusia untuk menarik perhatian Allah kepada dirinya yang dhoif dengan mengumpul seberapa banyak pahala yang mampu dan meminimakan seberapa banyak dosa yang boleh. Penyesalan, taubat dan istighfar, perlu sentiasa meniti di bibir. Datang dari hati yang tulus ikhlas. Tidak perlu banyak, tapi istiqamah itu perlu.

Teringat kepada rintihan 'abid dalam bentuk syair yang indah:
Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgamu,
 
Namun tidak upaya menahan seksaan api nerakamu,
 
Oleh itu kurniakanlah kepadaku taubat dan ampunkanlah dosaku,
 
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Dosa dan Maha Agung.

Wallahu'alam.
 
Sumber : shamkamikaze

Ahli ibadat yang jahil & ulama yang fasiq

As'salamualaikum ,

Daripada Anas r.a berkata : 

" Bersabda Rasulullah s.a.w , " Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq " 

[H.R.IBNU ADY]


KETERANGAN : 

Di akhir zaman nanti akan ada dua golongan iaitu orang jahil yang rajin beribadat dan orang alim yang fasiq . Syaitan berusaha untuk menyesatkan manusia . Syaitan menggunakan cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan . 

Bagi si jahil : 

Syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin ibadat , kerana baginya ibadat orang yang jahil tidak sah dan tidak diterima oleh ALLAH s.w.t .  

Bagi si alim : 

Syaitan akan menyruhnya malas beribadat sehingga si alim malas beribadat . Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah , bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti .

Maka itulah kejayaan syaitan dalam usahanya . Gejala yang sebegini rupa dapat dilihat di dalam masyarakat kita , dimana yang rajin beribadar itu adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan hal-hal ibadat pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan .



Ada yang alim lupa daratan , 

Amal ibadat malas lakukan , 

Ilmu di dada bagai lautan ,  

Menjadi hujah di depan Tuhan .  


Orang yang jahil rajin beribadat ,  

Tiada ilmu taat dibuat ,  

Rasa kasihan kita melihat , 

Mereka hanya beroleh penat . 


Sumber : Buku berjudul ' Sedarkah kamu wahai manusia antara semalam & hari ini ' . Penulis , Wan Md Jamal Bin Wan Md Saman . 

p/s : Ya ALLAH kami ini rendah bagaikan tanah Ya ALLAH , lindungilah kami dari dua golongan ini . Kami bermohon kepadaMu Ya ALLAH , kami mohon dan mohon . Amin Ya Rabbal'Alamin .

Ujian dahsyat terhadap Iman

As'salamualaikum , 



Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda :

" Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap . Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir atau (Syak Perawi Hadis) Seseorang yang masih menjadi kafir . Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia " 

[H.R.MUSLIM] 



KETERANGAN : 

Hadis ini menerangan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujian terhadap iman seseorang di akhir zaman . Seseorang yang beriman di waktu pagi , tiba-tiba dia menjadi fakir di waktu petang . Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang , tiba-tiba pada esok paginya menjadi kafir . Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku . Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja , sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit harta benda dunia . Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman .

Dan menurut riwayat Ibnu Majah , beliau menambahkan , 

"Kecuali orang yang hatinya dihidupkan ALLAH s.w.t dengan ilmu . Mudah-mudahan ALLAH s.w.t menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya , sehingga dengan itu ALLAH s.w.t akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini" .


Ujian dahsyat terhadap iman , 

Hampir menggoncang asas pengangan , 

Di pagi petang kiri kanan , 

Iman di dada jangan lepaskan . 

Jangan dijual agama suci , 

Walaupun harga mahal sekali ,  

Simpanlah ia di sanubari , 

Untuk bekalan menuju mati . 


Sumber : Buku berjudul 'Sedarkah kamu wahai manusia antara semalam & hari ini' . Penulis Wan Md Jamal Bin Wan Md Saman .  


p/s : Semoga saya dan kita semua sentiasa dilindungi oleh ALLAH . Amin .

Ucaplah 'Jazaakallahu Khaira'

As'salamualaikum , 






AbuAqil aka AbuSakeena


Mungkin anda pernah mendengar seseorang mengucapkan ucapan ‘Jazaakallahu Khaira’.

Ucapan ini sebenarnya menepati ajaran sunnah Rasulullah saw. Iaitu ucapan yang dilafazkan bila seseorang melakukan kebaikan kepada kita. 

Sebagaimana hadis Nabi saw yang bermaksud :

Sesiapa yang melakukan kebaikan kepadanya maka hendaklah dia berkata kepada orang tersebut : Jazaakallahu Khaira’. Maka dia telah memenuhi segala pujian.[al-Tirmizi dan al-nasa’i]

Mengucapan ini ialah Semoga Allah membalas kepada anda dengan kebaikan. Kesilapan yang biasa berlaku di kalangan kita ialah ucapan hanya ; Jazaakallah’ tanpa ‘khaira’. Ini adalah tidak lengkap kerana tidak tahu apa yang hendak dibalas.

Ucapan ini merupakan amalan Nabi saw dalam banyak hadis. Antaranya satu hadis yang panjang lebar di mana  


Nabi saw mengucapkan kepada golongan Ansar ( penduduk asal Madinah) dengan sabdanya :

“ Jazaakumullahu khaira’ [semoga Allah membalas kepada kamu dengan kebaikan].Sesungguhnya kamu sangat menjaga maruah diri dan sabar.[al-Hakim dan Ibn Hibban]

Saidina Umar berkata :

Sekiranya salah seorang dari kamu mengetahui apa yang akan diperolehi bila diucapkan kepada saudaranya ucapan “jazaakallahu khaira’ nescaya dia akan memperbanyakkan ucapan itu antara satu sama lain.

Ucapan ini merupakan amalan kebiasaan para sahabat dan tabi’in. oleh itu marilah kita bersama-sama mengamalkan sunnah Nabi saw ini. Semoga Allah memberi taufik kepada kita. 


Sumber : SINI . Jazaakallahu khaira 

Anggota badan semasa sujud

As'salamualaikum , 

  • Mohon penjelasan ustaz tentang kedudukan jari-jari kaki semasa sujud  

JAWAPAN : 

Anggota tubuh yang wajib menyentuh tempat sujud ada tujuh iaitu dahi , kedua-dua tapak tangan , kedua-dua lutut ,dan hujung (jari-jari) kedua-dua kaki seperti hadis yang 

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a , Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : 

" Aku diperintahkan supaya bersujud di atas 7 tulang iaitu dahi , dua tangan , dua lutut dan di penghujung (jari-jari) dua kaki serta menyingkap pakaian dan rambut "  

[Riwayat al-Bukhari no 812 dan Muslim no 490] 


Jika salah satu anggota tersebut tidak menyentuh tempat sujud , maka solat itu batal . Kedudukan jari-jari kaki yang terbaik ketika sujud adalah dengan membengkokkan kesemuanya ke arah kiblat . 

Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud : 

" Beliau menghadapkan hujung jari-jemarinya ke arah kiblat " 

[Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud] 


Ibn Umar amat suka menghadapkan badan dan anggotanya ke arah kiblat ketika solat sehingga beliau mengarahkan ibu jarinya ke arah kiblat .  


Membengkokkan jari kaki adalah sunat . Sekurang-kurangnya salah satu jari daripada kedua-dua belah kaki hendaklah ditengakkan atau dibengkokkan tetapi keadaan ini adalah makruh . Tidak semua jari kaki perlu mencecah lantai ketika sujud , tetapi cukuplah salah satu daripada mana-mana jari kaki . 

Sujud dalam semua jari kaki tidak ditengakkan malahan keadaan kuku kaki terlangkup ke lantai akan membatalkan solat . Disunatkan membuka atau mendedahkan tapak kaki bagi lelaki sebaliknya wajib ditutup bagi wanita .  

Sekiranya seorang itu tiada atau terpotong tapak tangan , jari tangan atau kaki maka tidak wajib meletakkan hujung anggota daripada kaki atau tangan yang ada di tempat sujud kerana hukumnya sunat sahaja . 

Sebaliknya , bagi mereka yang lahir dalam keadaan cacat tiada tapak tangan dan jari-jemari maka wajib baginya meletakkan hujung anggota yang ada dalam kawasan tangan atau kaki di tempat sujud .  

Di sini perlu difahami bahawa ada perbezaan hukum bagi mereka yang terpotong jari-jemari dan tapak tangan dengan mereka yang dilahirkan tanpa tangan dan jari-jemari . 


  •       Adakah hidung termasuk anggota sujud ? 

JAWAPAN : 

Adapun hidung , terdapat khilaf pendapat dalam kalangan ulama . Dan pendapat yang lebih tepat adalah pendapat Imam Malik , Imam al-Syafi'i dan majoroti ulama menyatakan bahawa merapatkan hidung ke tanah ketika sujud adalah sunat dan tidak sama kedudukannya dengan dahi . 


  • Antara tangan dan lutut , yang mana satu perlu didahulukan ketika turun sujud ?

 JAWAPAN : 

Para ulama bersepakat bahawa kedua-dua cara untuk sujud , sama ada mendahulukan kedua-dua lutut ataupun kedua-dua tapak tangan adalah dibolehkan

Menurut al-Sheikh Salim al-Hadrami dalam kitabnya : 

Disunatkan melakukan tertib ketika meletakkan anggota sujud iaitu didahulukan dengan kedua-dua lutut kemudian kedua-dua tapak tangan seterusnya dahi dan hidung serentak . 

[Kashifah al-Saja , halaman 64]


Sumber : Majalah Solusi isu no 39 m/s 38 . Bahagian soal jawab solat . 


















Rahsia waktu ke-7

As’salamualaikum ,

Alhamdulillah bertemu lagi di blog ini . Segala puji bagi ALLAH yang telah memberikan kita semua kesempatan dan dengan izinNya juga saya diberi keizinan menulis dan diberi anda semua membaca artikel ini . Selawat dan salam buat Rasulullah S.A.W begitu juga doa buat ahli keluarga dan para sahabat perjuangan baginda Rasulullah S.A.W . Amin .

Baiklah , pada malam ini ada satu rahsialah juga yang ingin saya bagi tahu . Walaupun mungkin ia bukan rahsia sangat tapi rahsialah . Haha . Firstly , memang tak tahu nak cerita dari mula macam mana . Tapi ! InsyaALLAH , moga dipermudahkan . But , ia bukanlah terlalu personal Cuma nak bagi tahu rahsia ‘WAKTU KE-7’ ini datang dari mana ?

Ada seorang kakak bertanya kepada saya tentang kenapa ‘WAKTU KE-7’ tajuk di blog saya  ini . Sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang lebih kurang macam tu tapi saya tak jawab sebab waktu tu mungkin saya tak patut cerita apa-apa . Tapi , judul ‘WAKTU KE-7’ ini bukanlah misteri sangat sampai nak travel cari maksud tersirat ni , macam cari harta karun pulak . Haha . But , even ia tak misteri tapi ia istimewalah . 




Kenapa istimewa WAKTU KE-7 ?

#Ia merupakan salah satu judul sebuah buku komik yang pertama diberi oleh seorang kawan saya dahulu  .

Okay , memang tak sangka sangat dia bagi . Saya memang minat komik gempakstarz tapi tak sangka dia akan bagi buku ni betul-betul . Sebagai tanda terima kasih dia pada saya . Apa-apa pun terima kasih . Buku tu kan mula-mula entah pergi mana . Waa tahu saya memang tak pandai jaga barang sangat ;3 tapi Alhamdulillah , jumpa juga ! Rupa-rupanya dekat dalam beg sekolah agama adik , dia pergi bawa ke sekolah . Woo , minta izin dulu ya . Hehe . Dulu tak minat komik , tapi bila kali pertama baca , ohh menggoda jiwa kot  ;& .


#Ia merupakan nombor yang saya suka

WAKTU KE-7 see ? Ada no 7 kan ? Haha , no kegemaran . Sebab ? TL saya . Huu , tekalah T.T .


#Tak ada orang guna nama ni lagi kot

Haha , sebab macam unik aja kot . Ya lah , kadang-kadang bila belek-belek blog orang lain kita dapat pelbagai nama blog masing-masing . Itulah kreativiti , setiap orang ALLAH sudah anugerahlah sesuatu yang tersendiri . Alhamdulillah .

Bila dapat komik tu , saya simpan buat koleksi . Ya , nak jadikan perpustakaan pun ok tak ? Hehe , berangan . Tapi bukan sekadar buku macam ini aja , buku-buku yang lain seperti ilmiah , keagamaa , masakan , motivasi dan selain itu . Ya laa , bila minat membaca ni banyak yang boleh dapat . Semakin banyak kita baca semakin banyak yang sebenarnya kita tidak tahu . Itulah , kuasa ALLAH . IlmuNya tidak pernah padam dan lupus .

Namun ! Janganlah beli majalah-majalah yang tak senonoh . Ia peringatan buat saya juga , kadang-kadang memang pergi kedai-kedai yang ada jual majalah atau buku-buku ada juga jual majalah hiburan . Ia terjadi juga dekat saya . Jadi muhasabah diri , mana satu perlu kita pilih . Majalah yang bawa kita dapat pahala atau dosa  ? Nauzubillahminzalik . Moga saya sendiri cepat-cepat larikan mata dari  melihat , larikan tangan dari membeli , larikan kaki untuk pergi ke tempat lain .

Ok , majalah Solusi merupakan salah satu majalah yang bagus . Memberi info yang berguna bagi kita sebagai hamba ALLAH yang lemah ini . Kalau macam dulu contohnya kita selalu membeli majalah yang banyak menceritakan tentang artis dan isu semasa artis sekarang apa kata kita tukar ke arah majalah yang membawa kita ke arah yang diberkati ALLAH . Setiap manusia boleh berubah kan ? InsyaALLAH , tak mustahil kalau dia dulu ni memang tak tahu pasal agama tapi kalau ALLAH izinkan , pintu hatinya terbuka , ia tak mustahil . ALLAH MAHA MENGETAHUI . ALLAH nak cuba kita fikir bahawa Dialah sahaja yang Berkuasa . Takdir itu telah ditetapkan olehNya .

Okay , apa puas tak pasal WAKTU KE-7 ni ? Mungkin ini yang dapat saya kongsikan . InsyaALLAH , setiap yang berlaku ada hikmah . Saya Cuma nak cerita . Hehe . Maaf ya kalau saya salah kata atau silap . Tolong betulkan , dan InsyaALLAH saya terimanya .

p/s : Saya harap ia simple + mimple

Terasa tak cantik ? Berbahagialah !

As'salamualaikum , 


Jika anda muslimah yang tidak berapa nak cantik dan anda terasa anda tidak menja...di tumpuan.

Kemudian anda merasakan ada sedikit kecemburuan dalam hati apabila melihat sahabat muslimah anda menjadi rebutan padahal anda tidak..

Pesanan saya, "bersyukurlah dan bergembiralah."

Kerana,

Apalah gunanya seorang muslimah menjadi idaman banyak lelaki sedangkan dia hanya akan menjadi milik seorang lelaki sahaja..

Seorang muslimah sepatutnya tidak akan merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan akan merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah seorang muslimah ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati..

Berbahagialah jika anda tidak menjadi tumpuan. Berbahagialah jika anda tidak menjadi sebutan para pemuda.

:)

Sumber : SINI  via SINI

p/s : Moga ALLAH melindungi kita semua . Amin . ALLAH MAHA PELINDUNG . 

Kisah Mus'ab Bin Umair R.A

As'salamualaikum ,

Ada seorang lelaki pada zaman jahiliyyah. Kehadirannya akan dapat dirasai walaupun dia berada dalam jarak yang jauh. Hal ini kerana, minyak wangi yang dipakai olehnya mampu terbau dari jarak yang sangat jauh. Pakaiannya adalah pakain yang paling mahal di Makkah.

Dia adalah manusia yang ter’hensem’ di Makkah.

Dia anak kesayangan. Apa yang dia mahu ibunya akan perkenankan. Tiada siapa di Makkah, baik muda atau tua, pemudi atau pemuda, yang tidak mengenali Mus’ab dan mengimpikannya.

Namun, lelaki ‘malaikat’ ini, matinya bermandikan darah, tanpa dua belah tangan, dan kafannya tidak cukup menutupi seluruh tubuhnya. Bila ditutup kepalanya, terdedahlah kakinya, bila ditutup kakinya, terdedahlah kepalanya. Akhirnya Rasulullah SAW menyuruh kepalanya yang ditutup dan kakinya ditutup dengan daun.

Matinya sebagai syuhada’

Rasulullah SAW bersabda berkenaan dirinya:

“Tiada lelaki yang lebih cantik daripada Mus’ab bin Umair di Makkah ini, tiada sesiapa yang memakai pakaian lebih baik daripada Mus’ab bin Umair. Tiada anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada dia”


Ya, itulah namanya. Mus’ab bin Umair RA.

Anda lihat, bagaimana manusia kaya di zaman jahiliyyah ini, bertranformasi menjadi seorang lelaki yang sanggup mengorbankan diri untuk Islam, dan akhirnya mati sebagai syuhada’.

Kisah Mus’ab bin Umair amat unik. Dia digelar ‘putera Makkah’ kerana semua orang mengidamkannya, kerana kehensemannya. Tetapi apabila hatinya disentuh cahaya Islam, dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan semua kesenangan yang ada pada dirinya.

Dia adalah anak yang paling dicintai ibunya. Segala kehendaknya ditunaikan. Tetapi apabila dia menganut Islam dan ibunya mengetahui, ibunya telah menarik semua kesenangan Mus’ab. Segala pakaiannya yang cantik-cantik, wang saku, semuanya ditarik. Malah Mus’ab dipulau.

Namun Mus’ab tidak melatah. Tidak pula dia rasa susah. Bayangkan, anda biasa hidup dengan RM10,000 sebulan. Tiba-tiba anda perlu hidup dengan RM10 sebulan. Apa perasaan anda? Tetapi Mus’ab bin Umair tidak berpaling daripada Islam yang mungkin orang memandang sebagai penarik kekayaan dan kesenangannya.

Kenapa? Kerna dia yakin ini adalah jalan yang sebenar. Jalan yang membawanya kepada Allah.

Bila ibunya tidak berjaya menarik Mus’ab kembali kafir, Ibunya mogok tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali. Ibunya bertahan sehingga nyawa-nyawa ikan. Melihat keadaan ibunya, 
Mus’ab berkata:

“Wahai ibuku, andai Allah memberikan kamu 100 nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu persatu, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”

Ya. Itulah keteguhan.

Kita? Kadang-kadang ibu bapa sendiri suruh kita untuk taat kepada Allah. Tapi kita ingkar. Mus’ab bin Umair, ugutan ibunya tidak dijadikan alasan untuk meringankan tuntutan Islam.

Ibu, walaupun kafir, kita perlu taat kepadanya selagi mana dia tidak mengajak kita syirik kepada Allah atau melakukan perkara yang Allah larang. Tapi sekiranya mereka mengajak kepada keingkaran terhadap Allah, maka kita perlu membantah.

Mus’ab terus bertukar gaya hidupnya. Dari baju sutera termahal dan terbaik di Makkah, dari minyak wangi yang mampu dihidu dari jarak yang jauh, dari kulit licin cerah putih yang menawan, dia berubah menjadi seorang yang memakai baju lusuh bertampal-tampal, bau tubuh badan biasa, dengan kulitnya menjadi sedikit kasar kerana hidup dalam payah.

Rasulullah SAW apabila melihat Mus’ab bin Umair, baginda akan menangis. Sahabat-sahabat juga begitu. Hal ini kerana, mereka segan dengan besarnya pengorbanan Mus’ab bin Umair. Ya lah, dari putera Makkah, kepada manusia yang akhirnya diboikot tiga tahun tiga bulan bersama Rasulullah SAW, makan kayu daun kering. Siapa yang tidak akan rasa terharu?

Namun Mus’ab bin Umair tidak pernah menyalahkan Islam. Sedikit pun dia tidak pernah berkata Allah itu kejam kerana menyusun hidupnya menjadi susah sebegitu walaupun dia telah memilih kebenaran. Tidak pernah keluar dari mulutnya rungutan dan keluhan atau rasa menyesal menagmbil Islam.

Tidak pernah.

Kemudian Allah memuliakan Mus’ab bin Umair. Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai pendakwah ke Madinah. Kesungguhan Mus’ab bin Umair membuatkan tidak ada satu pun pintu yang tidak diketuk oleh sinar Islam.

Akhirnya, majoriti penduduk Madinah Islam di tangan Mus’ab bin Umair.

Sa’ad bin Muaz, pada zaman jahiliyyahnya di Madinah sebagai ketua kaum Aws. Dia datang dengan marah ketika Mus’ab bin Umair sedang menyampaikan Islam kepada penduduk Madinah. Bersamanya panah. Sampai sahaja, dia terus menarik baju Mus’ab dan mendekatkan panah itu pada leher Mus’ab. Dia menyuruh Mus’ab menghentikan usaha dakwah.
Mus’ab tidak melenting atau menentang.Kata  Mus’ab 
“Apa kata kau duduk dahulu dan mendengar apa yang aku hendak katakan? Kemudian jika kau suka, kau boleh ikuti. Jika kau tidak suka, maka aku boleh pergi”

Kelembutan Mus’ab dan ketenangannya, membuatkan hati Sa’ad bin Muaz lembut. Apabila dia mendengar kata-kata Mus’ab, ceramah Mus’ab dan Islam yang Mus’ab sampaikan, Sa’ad bangun. Dia berkata kepada Mus’ab:

“Islam ini, bagaimana aku boleh menganutnya?”

MasyaAllah. Begitulah dia Mus’ab bin Umair.

Rasulullah SAW pun memuliakannya.

Ketika Peperangan Uhud, Mus’ab bin Umair adalah salah seorang jeneral. Dia pembawa panji.

Peperangan itu, menyaksikan Mus’ab bin Umair bertempur ibarat singa. Namun, kerana dia memegang panji, tentera musyrikin berusaha untuk menjatuhkannya. Tangan kirinya yang memegang panji diserang hingga terpotong. Pantas dia memegang panji dengan tangan kanan. Dia terus bertempur. Akhirnya tangan kanan turut terpotong.

Mus’ab bin Umair, untuk mempertahankan panji yang mewakili maruah Islam, terus memegang panji dengan kedua pangkal lengannya. Akhirnya tubuhnya itu dihujani anak panah, menyebabkan dia tumbang syahid.

Saat syuhada’ Uhud hendak dikebumikan, mayat-mayat syuhada’ Uhud ditutup dengan kain. Kain yang menutup Mus’ab bin Umair tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Jika kepalanya ditutup, maka kakinya terbuka dan begitulah sebaliknya.

Melihat keadaan ini, Rasulullah SAW menangis.

Akhirnya diarahkan untuk menutup kepala Mus’ab bin Umair dengan kain, manakala kakinya ditutup dengan daun kering.

Begitulah dia kisah seorang syuhada’, ‘putera Makkah’ yang telah berkorban.

Pembaca-pembaca, ketahuilah bahawa, itulah namanya pengorbanan. Kadangkala, kita menyedekahkan seratus dua ringgit, kita rasa itu satu pengorbanan. Sedangkan gaji kita RM10,000 sebulan.

Kadangkala, kita dapat bangkit qiamullail dua rakaat, kita sudah rasa itu satu pengorbanan. Sedangkan kita bangkit itu sekali sahaja dalam setahun. Malah banyak hari kita terlajak subuh.

Kadangkala, kita dapat berpuasa sunat sehari. Kita berlapar. Kita rasa itu pengorbanan. Sedangkan kita berpuasa sunat itu sekali sahaja dalam beberapa bulan.

Kita baru studi sejam dua, kita rasa itu pengorbanan. Sedangkan kita leka dan lalai berpuluh-puluh jam lamanya.

Amal kita sedikit, kita rasa itu pengorbanan. Sumbangan kita sedikit, kita rasa itu pengorbanan. Hakikatnya, kita tidak faham apa itu ‘korban’. Pengorbanan yang sebenar adalah seperti apa yang ditunjukkan Mus’ab bin Umair kepada kita.

Sedangkan Islam, untuk bangkit seperti zaman kegemilangannya, memerlukan manusia-manusia yang sedia berkorban seperti Mus’ab Bin Umair. Pengorbanannya menonjolkan keimanannya. Kerna, manusia yang benar-benar beriman kepada Allah, dia akan faham dengan sebenarnya akan kata-kata:

“Cukuplah Allah sebagai wakil”

MasyaAllah…

Sama-sama lah kita, muhasabah diri kita, dengan sirah Mus’ab bin Umair ini.

Semoga kita berjaya menjadi hamba sepertinya.

Dia adalah antara anak-anak di madrasah Rasulullah SAW, yang melihat dunia dari jendela akhirat.

Semoga Allah bantu kita untuk menjadi seperti dia.


Sumber : SINI via SINI

JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !