Wanita lebih berwibawa jika kuasai pelbagai ilmu





As’salamualaikum ,

Hari ini boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mampu menuntut ilmu , sama ada secara rasmi atau tidak . Ia jauh berbeza beberapa puluh tahun lalu , di mana anak perempuan hanya dibenarkan menuntut ilmu secara tidak langsung di rumah . Hanya segelintir ibu bapa yang tidak jumud menghantar anak perempuan ke sekolah .

Ilmu yang paling penting untuk ditekuni setiap wanita ialah ilmu Al-Quran , hadis , sirah dan feqah . Tidak kurang pentingnya juga pengetahuan biografi tokoh wanita di zaman Rasulullah S.A.W yang banyak menyumbang kepada legasi Muslim hari ini salah satu contohnya isteri baginda sendiri .

Ilmu Al-Quran menjadi sumber utama yang akan menjadi teraju cara beribadah dan bermuamalah , sekali gus melindungi wanita tergelincinr daripada cara hidup sebagai seorang Muslimah seperti dituntut ALLAH . Hadis dan sunnah pula memperincikan lagi sahsiah yang harus diteladani sebagai umat Rasulullah S.A.W . Aisyah contohnya , pernah menjadi pakar rujuk dalam ilmu hadis dan sunnah , malah dalam usia masih muda beliau adalah pakar feqah pertama dalam Islam .

Imam Az-Zuhri mengatakan “ jika ilmu Aisyah dikumpulkan , lalu dibandingkan dengan ilmu semua isteri Rasulullah dan seluruh Muslimah , nescaya ilmu Aisyah lebih unggul “

  •       ILMU SIRAH – Memberi banyak pengajaran kerana sebagai seorang manusia yang mempunyai naluri keibuan , ilmu inilah juga yang akan diamalkan untuk membimbing generasi muda dengan mengambil teladan daripada perjalanan hidup Rasulullah S.A.W serta sahabat .
  •       ILMU FEQAH – Untuk mengetahui hokum hakam yang qat’i dan peraturan hidup sebagai Muslim seperti termaktub dalam sumber yang utama mengikut kronologi iaitu Al-Quran dan Sunnah . Metod untuk memutuskan sesuatu hokum yang memerlukan ijma’ ulama juga harus diketahui supaya wanita tidak jahil untuk memahami sesuatu hokum itu diputuskan .

Kehadiran wanita dalam setiap lapangan kehidupan memungkinkan mereka memperjuangkan keperluan hidup sebagai seorang wanita kerana hanya mereka yang tahu kekuatan dan kelemahan mereka berbanding kekuatan serta kelemahan lelaki .

Menerusi penguasaan ilmu yang luas , wanita akan dapat memiliki kefasihan lisan kerana ilmu yang tinggi membantu mereka dalam seruan dakwah . Sayangnya , hari ini dengan pelbagai kemudahan , ilmu yang bentang di depan mata , apatah lagi mempelajari Al-Quran , hadis , sirah dan feqah .


Ahnaf bin Qai mengatakan 

“ Aku telah mendengar khutbah Abu Bakar , Umar , Uthman dan Ali serta khalifah sesudahnya , tetapi aku tidak pernah mendengar perkataan dari lisan seorang manusia yang lebih baik dan lebih indah dari perkataan yang keluar dari lisan Aisyah “


Bayangkan bagaimana proses tarbiah insane dapat dilakukan dengan betul jika ibu tidak tahu membaca walau sebaris ayat Al-Quran . Sedangkan cabaran dunia hari ini tidak jauh bezanya dengan zaman awal kedatangan Islam sesudah jahiliah , penganut Islam pada masa itu bertempur dengan manusia yang tandus akhlak dan moral .



Justeru wanita haruslah meneruskan legasi pimpinan wanita terdahulu yang mendampingi Rasulullah S.A.W kerana ilmu dan akhirat , bukan dunia dan pangkat .





p/s : Dipetik dari surat khabar Berita Harian oleh penulis Puan Nik Salida Shuhaila >> salidasuhaila99@yahoo.com

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !