Jiwa Rabbani








As'salamualaikum , 


Alhamdulillah bertemu lagi kita di laman sosial ini dengan izin ALLAH . Marilah kita berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W . 


Rentetan itu , seperti yang kita semua tahu proses pembangunan semua jenis insan ini sama sebagaimana ALLAH telah membangunkan akidah Rasulullah S.A.W yakni : 

>> Membangunkan akhlaknya 


>> Memantapkan jihad dan daya juangnya 


>> Memurnikan pekertinya 


>> Menjadikan dirinya sebagai qudwah terbaik untuk seluruh umat ISLAM .




Bayangkan , dengan kekuatan akidah , baginda berjaya memberi kesan ( perubahan ) terhadap akidah orang Quraish kepada pegangan yang lebih fitrah . Dengan pegangan ini jugalah iman Zubair Ibn Awwam terus kental menyatakan iltizam dirinya hatta sewaktu diuji dengan ujian pedih . Dan dengannya juga menyebabkan Jaafar Abi Talib berjaya mempamerkan sahsiah yang baik terhadap Najasyi hingga menyebabkan Raja Habashah itu kembali kepada keyakinan yang fitrah . 







Inilah perubahan yang dituntut oleh Islam iaitu berteraskan kepada pegangan , ikatan atau simpulan antara hamba dan Khaliq . Ikatan ini amat penting bagi manusia kerana akidah yang mantap berasaskan landasan syariah akan menghasilkan akhlak yang mulia . Itulah asas pembangunan insan yang menjadi titik tolak utama bagi menentukan pola perubahan setiap manusia .




Jika keyakinan mereka kental terhadap ALLAH dan KeperkasaanNya , pasti rasa tunduk dan patuh terhadapNya berada pada tahap tinggi . Manakala jiwa yang ingkar , takbur , degil , keras hati , bengis , celopar , kufur nimat tidak akan bertandang di hati manusia .


Persoalannya ? Mengapa akhlak sangat penting bagi manusia ? Ini kerana dalam Islam ia merupakan faktor yang dapat membezakan antara manusia beriman atau sebaliknya . Manusia yang berakhlak sentiasa bersikap amanah terhadap ALLAH dan makhluk yang lain . Akhlak adalah cerminan peribadi , cerminan hati , amal dan tingkah laku . Bayangkan jika seseorang itu tidak mempunyai akhlak yang boleh dicontohi , kemungkinan urus tadbir diri dan sekitarnya berlaku atas dorongan nafsu-nafsi dan pertimbangan akal yang putus tautannya dengan hati . 





Justeru melalui rasa syukurlah akan melahirkan amanah dan adil dalam menguruskan rahmah dan ni'mat daripadaNya . Rasa itu jugalah yang mengekalkan tautan hubungan antara manusia dengan ALLAH dan menjadikan mereka bersifat mahmudah dalam menguruskan kurniaan dan anugerahNya . Manakala , umur dan kesihatan adalah ni'mah ALLAH yang dikurniakan untuk membolehkan manusia hidup dan berusaha sehingga wujud perubahan yang bersifat fitrah . Bersyukur dengan umur dan kesihatan , mendorong manusia  bertakwa untuk berbakti dan beramal sebanyaknya yang bukan sahaja untuk mendapat keredhaan ALLAH , tetapi memenuhi tuntutan risalah seorang hamba iaitu beribadat kepadNya .


p/s : Tanamlah nilai-nilai Rabbaniyah seperti jujur , ikhlas , adil , amanah , telus dan tulus .  
        Sumber dari buku berjudul "  Fitrahkah kita sebagai hamba ciptaan Ilahi ? " oleh  
        penulis Prof Dato' Dr. Sidek Baba .


 



No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !