Nak berlawak boleh ?

As’salamualaikum , sememangnya dalam kehidupan seharian kita memerlukan hiburan . Lucu , kelakar dan ketawa adalah perbuatan dan kata-kata yang dapat menggembirakan atau menggelikan hati orang lain yang mendengar dan melihatnya . Membuatkan orang lain senang hati itu adalah termasuk dalam amal kebajikan yang dituntut .






ADAB-ADAB BERJENAKA DALAM ISLAM :


Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah S.A.W , ayat-ayat Al-Quran , ahli keluarga Nabi , sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W dan golongan ulama .


Gurauan tersebut bukan memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangan atau kecacatan diri seseorang itu .


Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang dengan niat hendak merendahkan-rendahkan maruah .


Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan dalam kehidupan sehariannya .


Isi dalam jenaka adalah cerita yang benar-benar berlaku dan tidak dibuat-buat bagi membolehkan orang ramai ketawa .


Bersesuaian dengan masa dan tempat kerana tidak manis jika bergurau ketika seseorang itu dalam kesedihan . Usahlah buat lawak ‘kurang pandai’ di tempat yang tidak sepatutnya misalnya di majlis kematian .


Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain atau diri sendiri ketawa secara berlebihan ( ketawa terbahak-bahak)


Rasulullah S.A.W apabila ketawa hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja , bukan ketawa berdekah-dekah , terkekeh-kekeh atau mengilai-ngilai bak Pontianak .

Ramai di antara kita yang gemar menggunakan isu agama dalam lawak-lawak mereka . Walaupun sekadar jenaka , tetapi ia amat sensitif . Ada di antaranya yang suka mengeksploitasikan lawak dengan mempamerkan watak yang tidak sepatutnya . Bagi mereka yang tidak fasih berbahasa Arab pula , adakalanya suka berlawak dengan menggunakan bahasa tersebut tanpa mengetahui maksud perkataanya . Bagi yang faham Alhamdulillah tapi bagaimana dengan sebaliknya ?

Islam memang tidak melarang kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa . Cuba lihat sejarah bagaimana kisah Rasulullah S.A.W bergurau dengan seorang wanita tua .

Wanita tua itu berkata kepada baginda : “ Doalah kepada ALLAH agar DIA memasukkan aku ke dalam syurga “

Baginda menjawab : “ Wahai ibu , sesungguhnya orang tua tidak akan masuk ke syurga “ Perempuan itu kemudian balik dan menangis .

Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : “ Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke syurga dalam keadaan masih tua “


ALLAH berfirman : “ Sesungguhnya , KAMI mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru . KAMI jadikan mereka dalam keadaan dara , yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya “ (Hr Tirmizi dan Al-Baihaqi dengan sanad yang hasan )

Abu Hurairah telah meriwayatkan :

Para sahabat berkata : “ Wahai Rasulullah , sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami “

Baginda menjawab yang bermaksud : “ Ya memang aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar belaka “ (Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)



ULAMA MELETAKKAN 5 ETIKA YANG PERLU DIPATUHI DALAM KITA MELAWAK



Tidak menggunakan cerita yang bohong sebagai alat untuk membuatkan orang ketawa .
Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud : “ Celakalah orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa . Celakalah dia , celakalah dia “ (Hr Ahmad dan ad-Darimi)

Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan jika diizinkan oleh orang tersebut .
Firman ALLAH : “ Wahai orang yang beriman . Janganlah satu puak itu menghina puak yang lain , kemungkinan orang yang dihina lebih baik daripada orang yang menghina . Janganlah wanita menghina wanita yang lain , kemungkinan wanita yang dihina itu lebih baik daripada yang menghina “ (Al-Hujarat : 11)

Melawak yang tidak menakutkan orang lain .
Rasulullah S.A.W bersabda : “ Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam “ 
Rasulullah S.A.W bersabda : “ Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seislamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul “ (Hr Ahmad-sahih)

Usah melawak di tempat yang serius dan usah serius di tempat melawak .
Nabi S.A.W bersabda : “ Tiga perkara yang mana diambil hukumnya sama ada dalam keadaan melawak atau serius . iaitu nikah , cerai dan membebaskan hamba “ (Hr Abu Daud , At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan .
Nabi S.A.W bersabda : “ Janganlah kamu banyak ketawa . Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati “ (Hr Ahmad dan Ibn Majah)


Said bin Al-‘As berkata : “ Bersederhanalah dalam melawak . Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang yang bodoh akan berani terhapadmu . Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang yang hendak bermesra dan menyebabkan orang yang berdamping denganmu akan berasa rimas “



Menurut pandangan Islam , bergelak ketawa yang keterlaluan adalah makruh hukumnya . Oleh itu , seseorang yang sihat akal dilarang bergelak ketawa secara berlebihan kerana mereka yang suka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat . Orang yang banyak menangis di dunia akan banyak ketawa di akhirat .




Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi ada 4 perkara yang menghilangkan ketawa seseorang mukmin :

  1. Kerana memikirkan akhirat
  2. Kesibukan mencari keperluan hidup 
  3. Risau memikirkan dosa 
  4. Apabila tibanya musibah dan bala




p/s : Oleh itu marilah kita sama-sama muhasabah diri dan kembali bertaubat . Banyakkanlah menangis (kerana ALLAH) daripada ketawa (yang sia-sia) . Ingatlah , hendak berlawak , berlawaklah tapi janganlah sampai merendahkan kesucian Islam ataupun mana-mana agama sekalipun . Walaupun niat kita hendak bergurau tetapi dikhuaitiri akan menjerumuskan kepada haram jika tidak berhati-hati dalam penggunaannya . Walahualam .

1 comment:

Fatin Nur Nabilah Roslan said...

As'salamualaikum , ohh tentu . Silakan .


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !