Dengan izinNya

As’salamualaikum ,

Alhamdulillah syukur ke hadrat ALLAH kerana diberi kesempatan ini dan mari kita berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W , junjungan besar baginya . Mengenai kehidupan seharian , sesetengah isu yang dibangkitkan walaupun tampak agak remeh tetapi besar implikasinya dalam hubungan antara seseorang itu dengan masyarakat sekeliling dan hubung kaitnya dari segi pegangan agama yang dianuti . Mungkin di antara kita menganggap ia tidak perlu diperbesarkan tetapi jika dibiarkan begitu sahaja , maka ia akan menjadi semakin meruncing dan tidak terkawal .

Pada hari ini , kita dapat lihat isu pembuangan bayi semakin menjadi-jadi sehinggakan nilai-nilai kemanusiaan telah hilang dalam hati seorang makhluk yang bernama insan . Apatah lagi , perbuatan mengaibkan ini dilakukan oleh Bangsa Melayu dan beragama Islam . Sanggupkah kita membiarkan kisah tragis ini terjadi dalam lingkungan ahli keluarga kita ?

“ Dan janganlah kamu dekati zina , sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk “  - surah Al-Isra’ : 32

Islam tidak hanya melarang dari melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada zina , bahkan turut menyediakan hukuman tetap kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini .

“ Penzina perempuan dan penzina lelaki , maka rotanlah setiap orang daripada keduanya 100 kali . Janganlah kasihan kepada keduanya hingga menyebabkan kamu tidak menjalankan agama ALLAH , jika kamu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat . Dan hendaklah hukuman itu disaksikan oleh golongan yang beriman “  - surah An-Nur  : ayat 2

Harus diingatkan bahawa hukuman yang ditetapkan bukanlah bertujuan untuk mendenda mereka yang melakukan perbuatan ini , tetapi di sebalik perlaksanaan hukuman ini tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia .

Ingatlah . . apabila kita melakukan sesuatu ibadat , tidak memadai hanya bersertakan niat tetapi harus dilakukan berlandaskan syariat atau sunah . Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang betul . Misalnya , kita berniat untuk menambahkan bilangan umat Nabi Muhammad S.A.W . Maka cara yang dituntut oleh syarak ialah melalui perkahwinan dan bukannya melalui hubungan seks bebas (berzina) .

Peribahasa Melayu ada menyebut
‘ Seperti menarik rambut dalam tepung , rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak ‘

Kita sewajarnya tidak menghukum seseorang itu disebabkan kejahilan yang dilakukan oleh mereka tanpa disengajakan . Maksudnya , jika seseorang itu melakukan sesuatu ibadat dengan sangkaan yang benar sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya , dia tetap memperoleh pahala dengan syarat seseorang itu berusaha mendapatkan ilmu tersebut . Cuma mungkin tahap pembelajaran seseorang itu berbeza dengan seorang yang lain . Mungkin pendekatan dakwah kita berbeza-beza tetapi matlamat yang sama iaitu melakukan amar ma’ruf (mengajak ke arah kebaikan) dan nahi mungkar (menjauhkan dari perkara yang bertentangan dengan syarak) .



TIDAK ADA INSAN SUCI TIDAK ADA MASA LAMPAU ,
TIDAK ADA INSAN BERDOSA TIDAK MEMPUNYAI MASA HADAPAN .

Begitu juga dengan diri kita , saling ingat-mengingati . Bagi mereka yang memiliki kelebihan ilmu , bimbinglah mereka yang masih terkapai-kapai dalam mencari dahan untuk berpaut . Serah dan sediakan diri untuk melaksanakan segala peraturan Islam kerana Islam diambil daripada perkataan selamat , yang bermaksud selamat dunia dan akhirat . Usahlah mengkiaskan sesuatu perkara itu menurut akal kita kerana akal tidak terbatas cara berfikirnya seperti terbatasnya penglihatan kita .

Sesungguhnya dakwah kepada ALLAH adalah merupakan tuntutan wajib kepada semua muslim . Sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Rasulullah S.A.W bahawa menjadi satu kewajipan bagi mereka yang ingin melakukan amar makruf nahi mungkar mengetahui dan memahami , mesej seruannya . Berlemah-lembut dalam menyuruh , melarang dan juga bertoleransi dalam tindakan dakwah . Tanpa ilmu segala-galanya tertolak . Jika sudah memiliki sedikit sebanyak ilmu , ia perlu diamal dan diperluas kerana

ilmu tanpa amal dalah ibarat pokok rendang yang tidak berbuah

ALLAH menciptakan seseorang manusia itu dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri . Ingatlah . . tiada manusia yang sempurna dalam segala segi . Ilmu tentan Islam perlulah dipelajari dari pelbagai guru mursyid dan sumber . Bila banyak guru , banyaklah ilmu yang kita dapati .


p/s : “ Ya ALLAH Ya TUHAN kami , ampunilah semua dosa kami . Kurniakanlah kami nikmat kesihatan yang baik dan terangilah hati kami dengan Nur pancaran Iman . Tetapkanlah hati kami dengan beribadat kepada-MU . Perluaskanlah rezeki kami , dekatkanlah kami pada jalan kebaikan , jauhkanlah kami dari sebarang kejahatan dan tunaikanlah hajat kami sama ada dalam perkara agama , dunia mahupun akhirat . Amin “

No comments:


JAZAKALLAHU KHAIRA , SEMOGA BERMANAFAAT !