As'salamualaikum ,
Kepada hamba yang beriman , Allah anugerahkan kepada mereka darjat-darjat yang tertentu di dalam syurga . Sungguh darjat kebesaran akhirat tidak sama dengan darjat kebesaran dunia . Bagaikan langit dan bumi . Hanya Dia Yang Maha Tahu bagaimana hebat dan agungnya darjat-darjat yang diperuntukkan kepada para Mukminin itu . Pernahkah anda mendengar perihal darjat dan tingkatan syurga di akhirat sana ?
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
" Sesungguhnya penghuni syurga melihat penghuni (syurga) yang berada di atas tingkat mereka bagaikan melihat bulan di langit " [Riwayat al-Bukhori dan Muslim]
Usahlah bersedih andai kita tidak pernah mendapat sebarang darjat di dunia namuk kita wajar bersedih dan berduka bilamana kita kembali menghadap Allah sebagai hamba yang miskin pahala , miskin iman dan miskin amal di akhirat sana . Hendaklah kita bertafakur dan merenungi bagaimanakah kedudukan darjat kita di sisi Allah pada hari akhirat nanti .
Antara Penyebab Beroleh Darjat Di Akhirat
(1) AKHLAK YANG MULIA
Rasulullah s.a.w bersabda :
" Sesungguhnya seseorang Mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa dan mendirikan sembahyang pada tengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia " [Riwayat Abu Daud]
(2) BERILMU
Firman Allah subhanahuwata'ala yang bermaksud :
" Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat , dan ingatlah Allah Maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan " [Al-Mujadilah 58:11]
Terdapat darjat yang dianugerahkan kepada para Mukminin itu datang daripada sumber dia sendiri tidak mengetahuinya . Bahkan ia tidak pernah menjangkanya sama sekali . Di sinilah kita sedang menyaksikan betapa Allah Pencipta kita itu adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Adil terhadap hamba-hambaNya .
(3) DOA DAN ISTIGHFAR ANAK YANG SOLEH
Rasulullah s.a.w telah menceritakan perkara ini kepada kita . Sabda baginda :
" Sesungguhnya Allah mengangkat darjat hamba yang soleh di dalam syurga . Hamba yang soleh bertanya : " Ya Tuhanku , dari manakah datangnya semua (kemuliaan dan darjat) ini ? " Apa jawab Allah kepada hamba yang soleh lagi bertuah ini ? Firman Allah kepadanya : " Semua ini disebabkan anak kamu yang selalu memohonkan keampunan untuk kami " [Riwayat Abu Daud dan Ibu Majah]
Anak Soleh & Solehah
MasyaAllah ! Subhanallah ! Tahniah kita ucapkan kepada ibu ayah yang memiliki anak-anak yang soleh dan solehah . Anak solehlah harta kita dunia dan akhirat . Anak yang soleh-solehlah penyejuk mata dan hati ibu bapa tercinta . Sekalipun mungkin ketiadaan harta , harus diingatkan bahawa ibu bapa kepada anak soleh dan solehah sebenarnya telah memiliki segala-galanya . Bersyukurlah kita kepada Allah di atas anugerah ini .
Islam mengajar kita bahawa kebaikan dan kesolehan anak-anak akan mendatangkan manfaat ke atas kedua ibu bapanya semasa mereka masih hidup di dunia mahupun selepas kematian mereka . Pahala mereka 'mendidik dan membimbing' anak-anak mereka di dunia dahulu tidak putus-putus mengalir deras kepada mereka walaupun selepas kematian mereka . Inilah rahmat Allah yang Maha Luas .
Apa sahaja kebaikan yang si anak buat di atas dunia ini , maka pasti ibu bapanya juga turut mendapat saham yakni perkongsian pahala daripada Allah tanpa dikurangkan sedikit pun . Kerana itu jangan sesekali menganggap dan berakata bahawa mendidik kesolehan anak-anak itu tugas yang menjemu dan memenatkan . Kalau tiba-tiba seseorang berkata : " Jemu dan penatlah didik anak-anak, " maka kita katakanlah padanya bahawa ia adalah satu sikap negatif yang mencetuskan kerugian yang nyata .
Kenapa ibu bapa dapat pahala daripada kesolehan dan kebaikan anaknya ? Apa rasionalnya ? Jawapannya adalah kerana dari manakah datangnya seorang anak kalau bukan daripada 'hasil kerja' dan 'perbuatan' ibu bapanya sendiri ?
Lihatlah betapa berharga dan bernilainya doa serta istighfar anak yang soleh kepada ibu bapanya . Bagaimana kita hari ini ? Apakah kita telah mendoakan keampunan dan kerahmatan untuk kedua ibu bapa kita ? Atau apakah telah sekian lama kita langsung tidak pernah mendoakan apa-apa kebaikan juga keampunan Allah untuk mereka ? Walahualam .
No comments:
Post a Comment