As'salamualaikum ..
Jika kita mempelajari sesuatu ilmu tidak kira sama ada bersifat duniawi atau tidak, mahu tidak mahu kita perlu melalui ujian yang dapat menentukan kita berjaya dalam menguasai keilmuan tersebut ataupun tidak
BERASA DIRI LEBIH BAIK ?
Ilmu merupakan satu ujian yang cukup halus kerana ramai yang gagal dalam ujian ilmu ini. Buktinya semakin banyak ilmu pengetahuan seseorang itu, kadangkala menyebabkan dia merasakan dia lebih hebat dari yang lain.
Dia yang lebih sukar menerima teguran bahkan ada yang merasakan statusnya di hadapan Allah S.W.T lebih tinggi dari yang lain. Mereka ini sebenarnya sedang diuji. Jika saya ditanya apakah antara ujian yang saya gerunkan, maka saya merasakan ujian ilmu ini paling saya geruni.
Ini kerana kita mungkin merasakan kita lebih baik dari orang lain dan itu adalah sebenar-benar kekalahan bagi mereka yang memahami. Seharusnya, semakin banyak kita pelajari semakin kita merasakan yang diri ini kerdil dan semakin kurang pengetahuan akhirnya kita melenyapkan ego yang ada dalam diri.
Kita perlu mengadaptasikan kata-kata "learn to unlearn". Semakin banyak pelajaran yang kita kutip sepanjang pengalaman hidup baik menerusi pendidikan formal mahupun tidak seharusnya menjadikan kita manusia yang dapat menguasai egonya dan bukan manusia yang semakin bangga dengan ilmunya kerana itu bukan milik kita.
Ego adalah pemusnah kehidupan yang halus. Ego bakal membuatkan seseorang itu semakin menjauh dari Allah S.W.T kerana tahap kebergantungannya dengan ilmu semakin tinggi berbanding kebergantungannya dengan Allah S.W.T.
Justeru itu, kita perlu setiap hari mengadakan pemeriksaan ke atas ilmu dan ego kerana ditakuti kita tanpa sedar sudah meletakkan kebergantungan kepada ilmu lebih dari Allah serta kita mungkin tanpa sedar sudah menjadi manusia yang riak.
Ilmu itu bagus tetapi orang yang membawa itu sebenarnya menentukan kedudukan ilmu pada kehidupannya. Kita mungkin disanjung orang kerana kebijaksanaan kita tapi kita tanpa sedar semakin menjauhi Allah S.W.T kerana sudah menjadikan ilmu sebagai Tuhan yang baru.
Oleh yang demikian, kita perlulah setiap hari memastikan kita sentiasa berada pada landasan yang tidak berbaur pada keegoaan kerana ia amat memusnahkan. Salah satu senjata yang digunakan untuk memusnahkan kebergantungan kepada Allah S.W.T adalah sikap suka dipuji.
Pujian cukup berbahaya kerana pujian yang diterima bakal menyemarakkan ego yang sedia ada dalam diri. Semoga kita dipelihara oleh Allah dari kebinasaan ilmu. Ilmu itu penyuluh hidup tetapi apabila ia juga boleh menjadi pemusnah jiwa seandainya tidak pandai digunakan.
Perkara ini memberi impak yang mendalam terhadap kehidupan seseorang. Kata orang dulu, jadilah seperti padi semakin berisi semakin menunduk tetapi kita kadangkala merasakan diri sudah banyak merendah diri namun hakikatnya lebih banyak meninggi diri.
(Wallahualam)
No comments:
Post a Comment